Siti Rohana Idris


SEORANG wanita yang juga pesakit mental dipercayai membakar sampah dalam rumahnya sendiri hingga menyebabkan kebakaran dalam kejadian di Kampung Nechang, Tumpat, pagi hari ini.

Kebakaran itu turut menyebabkan rumah ibu saudaranya yang didiami bersama lima sekeluarga lain turut musnah dalam kejadian pada 8.55 pagi itu.

Mangsa, Che Romoh Adam, 68, berkata, kebakaran itu disedari seorang anaknya apabila ternampak api membakar dinding rumah wanita penghidap masalah mental itu, Ramlah Omar, 60-an.

“Kami yang ketika itu sedang menikmati sarapan terkejut apabila mendengar jeritan anak mengatakan rumah Kak Lah (Ramlah) terbakar.

“Tanpa membuang masa saya bersama dua anak, seorang menantu dan dua cucu berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

MOHD Zaini melihat ruang dapur rumah keluarganya yang musnah terbakar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Zaini melihat ruang dapur rumah keluarganya yang musnah terbakar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Che Romoh berkata, mereka enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan lain kecuali kereta dan motosikal sahaja.

Dia berkata, anak sulungnya juga, Mohd Zaini Ramli, 38, turut melecur pada dahi kerana terkena bahang api ketika cuba membawa keluar sebuah daripada tiga motosikal yang berada di bahagian dapur rumahnya.

Katanya, Ramlah yang juga anak saudaranya tinggal berseorangan dan menghidap gangguan jiwa sejak 30 tahun lalu dan sudah tiga kali melakukan pembakaran dalam rumah.

“Setiap kali keluar ke kedai, dia akan membeli mancis dan saya akan menyorokkan mancis itu kerana bimbang akan berlaku perkara yang tidak diingini.

“Tapi hari ini nasib tidak menyebelahi kerana rumah kami sudah hangus dan syukur juga Kak Lah dapat diselamatkan.

“Ketika api sedang marak, dia (Ramlah) menyorok di dapur rumahnya sebelum menjerit dan jeritannya itu didengari penduduk kampung yang segera menyelamatkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail, berkata panggilan kecemasan diterima pada 8.59 pagi seramai 17 anggota dari BBP Pengkalan Kubor serta Tumpat dikerahkan ke lokasi.

“Ketika sampai kami mendapati kebakaran sudah berlaku 80 peratus dan api sedang marak serta merebak dengan cepat disebabkan dua kediaman itu berstruktur kayu.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 9.23 pagi dan operasi tamat pada 9.55 pagi manakala punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

KEADAAN rumah Che Romoh yang musnah terbakar . FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KEADAAN rumah Che Romoh yang musnah terbakar . FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 3:27 PM