Abdul Rahemang Taiming


"SAYA terkejut melihat api dan asap tebal keluar daripada dinding dan lantai rumah. Ketika itu hanya fikir membawa anak dan isteri keluar rumah sahaja," kata Taib Bibong, 60, mangsa kebakaran di perkampungan air, Kampung Sri Aman, Semporna, hari ini.

Kejadian pada 1.30 pagi itu menyebabkan 40 rumah musnah termasuk surau.

Taib bersyukur bahang panas akibat kebakaran itu menyedarkannya daripada tidur, sekali gus menyelamatkan mereka.

"Saya sedang tidur bersama isteri dan enam anak, tersedar apabila rasa panas serta asap tebal.

"Saya segera kejutkan keluarga untuk keluar menyelamatkan diri sebelum api mula merebak dan besar. Kami pun tidak sempat selamatkan apa-apa barang," katanya ketika ditemui, hari ini.

LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.

Menurutnya, walaupun rumah mereka hangus dan hilang harta benda termasuk dokumen peribadi, dia tetap bersyukur kerana tiada ahli keluarganya cedera.

Sementara itu, saksi kejadian, Radi Basula, 40, berkata, kebakaran itu cepat merebak disebabkan struktur rumah kayu dan rapat antara satu sama lain.

"Saya dapat lihat satu persatu rumah jiran musnah," katanya yang memberitahu dapurnya musnah akibat disambar api.

Sehingga 11 pagi, seramai 273 mangsa terdiri daripada 39 keluarga sudah mendaftar sebagai mangsa di kaunter yang dibuka Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rata-rata penduduk tinggal sehelai sepinggang kini menumpang di rumah ahli keluarga masing-masing sementara menunggu pusat pemindahan sementara disediakan kerajaan.

Berita berkaitan:

  • 30 rumah hangus terbakar
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 2:00 PM