Zuliaty Zulkiffli


“SAYA terdengar jeritan salah seorang dari tiga beradik orang kurang upaya (OKU) memberitahu rumah mereka terbakar lalu saya suruh mereka keluar menyelamatkan diri.

“Namun ketika cuba keluar dari rumah berkenaan, mereka terkena api menyebabkan masing-masing melecur di bahagian kaki dan muka,” kata Amran Md Isa, 52.

Dalam kejadian jam 11 malam tadi, Amran berkata, dia dan ahli keluarganya sedang memasak di luar untuk juadah kenduri berkhatan di rumahnya di Kampung Keriang Pulau, di Alor Setar.

Katanya, rumah tiga beradik OKU lembam yang dikenali sebagai Asmahani Husin, 30-an, Asmidar, awal 30-an dan Rizudin, 25, terbakar dan musnah kesemuanya.

“Mereka ada beritahu nak masak mi segera dan secara tiba-tiba api menyambar sebelum berlaku kebakaran.

“Namun, ketiga-tiga beradik itu berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian awal pagi hari ini.

Menurut Amran, tiga beradik itu yatim piatu selepas kematian ibu bapa mereka dan hanya mereka bertiga tinggal di rumah itu.

Katanya, mujur anggota bomba cepat sampai kerana berjaya memadam kebakaran dari merebak ke rumah berhampiran.

Jiran mangsa, Fatimah Ismail, 72, dia terdengar bunyi letupan kuat dari arah dapur yang dipercayai dari dapur gas.

BOMBA melakukan pemeriksaan selepas kebakaran dipadamkan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
BOMBA melakukan pemeriksaan selepas kebakaran dipadamkan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Katanya, mereka baru beli tong gas dan mungkin tersilap pasang menyebabkan gas bocor.

“Ini kali kedua saya melihat rumah mereka terbakar yang mana beberapa tahun lalu saya melihat sendiri kebakaran yang menyebabkan rumah bapa dan nenek mereka musnah.

“Kejadian itu turut menyebabkan bapa mereka meninggal dunia akibat ditimpa alang kayu ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.13 malam tadi berhubung kebakaran itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mihat Jaafar tiba di lokasi, jam 11.20 malam.

“Operasi disertai seramai lapan anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB), sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Selain itu operasi turut dibantu anggota BBP Alor Setar dan enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) untuk memadam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zamani berkata, setibanya di lokasi, didapati rumah setingkat batu kelas A terbakar dan membabitkan kemusnahan 70 peratus.

Beliau berkata, mangsa lelaki mengalami melecur di bahagian muka, manakala dua wanita masing-masing cedera di kaki.

“Sebuah motosikal turut terbakar dalam kejadian itu.

“Api berjaya dikawal jam 11.38 malam dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 8:45 AM