Chandru (dua dari kiri) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Gajah, semalam.
Chandru (dua dari kiri) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Gajah, semalam.
Oleh Nur Saliawati Salberi


KES Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) S Chandru, 38, berdepan pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Alor Gajah ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Ahmad Sazali Omar, memutuskan demikian selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin pada prosiding sebutan kes semalam.

Terdahulu, peguam, Melvin Tay mewakili tertuduh membantah permohonan itu dan memohon prosiding kes berlangsung di Mahkamah Tinggi Melaka dengan alasan anak guamnya ada satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Mohd Izhanudin dalam hujahannya berkata, kes perlu dipindahkan mengikut sijil Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah apabila semua kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Sosma) dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sahaja.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Ahmad Sazali, membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan, selain mengarahkan permohonan peguam untuk direkodkan.

Media pada 29 Oktober lalu melaporkan, S Chandru, didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Chandru, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE, di dalam telefon bimbit, di sebuah rumah di Kampung Bukit Balai, jam 10.20 pagi, pada 12 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 7:00 AM