ANGGOTA penguat kuasa MPK menampal notis pada premis perniagaan yang memiliki tunggakan sewa.
ANGGOTA penguat kuasa MPK menampal notis pada premis perniagaan yang memiliki tunggakan sewa.
Asrol Awang


KUANTAN: Keengganan 71 peniaga yang gagal menjelaskan bayaran sewa berjumlah RM35,000 membabitkan premis milik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyebabkan pintu premis perniagaan mereka dikunci.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, tindakan tegas itu dilakukan bertujuan memastikan peniaga terbabit bersikap profesional.

Katanya, tindakan mengunci premis itu bukannya untuk menganiayai peniaga yang ingkar tetapi lebih kepada mendidik mereka supaya lebih bertanggungjawab terutama menjelaskan sewa setiap bulan.

“Mengikut rekod, lebih RM200,000 tunggakan sewa membabitkan premis makanan dan ruang niaga milik MPK tidak dijelaskan dengan nilai antara RM500 hingga melebihi RM10,000.

“Dalam kes 71 premis yang dikunci, sebelum tindakan dilakukan, kita mengeluarkan notis amaran pertama terhadap 103 peniaga supaya menjelaskan bayaran tunggakan sewa dalam tempoh 14 hari.

“Jika masih gagal berbuat demikian, MPK memberi notis mengosongkan bangunan yang dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari.

“Disebabkan ingkar, tindakan mengunci dilakukan selepas peniaga itu mengabaikan dua notis terbabit,” katanya di sini, semalam.

Norkamawati berkata, sekiranya penyewa gagal membuat pembayaran dalam tempoh segera, MPK akan menamatkan perjanjian sewa premis serta-merta.

Bagaimanapun, katanya, penyewa yang berjaya melangsaikan sewa tertunggak, MPK masih boleh memberi peluang kepada mereka menyewa premis berkenaan sekiranya masih mahu menjalankan perniagaan.

“MPK komited memberi peluang kepada peniaga yang benar-benar serius untuk berniaga menyewa premis terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:40 AM