PENGUAT kuasa DBKL mengunci air penyewa yang mempunyai tunggakan sewa dalam Operasi Kunci Air (OKA) di PPR Muhibbah dan PPR Batu Muda, semalam. FOTO ihsan DBKL
PENGUAT kuasa DBKL mengunci air penyewa yang mempunyai tunggakan sewa dalam Operasi Kunci Air (OKA) di PPR Muhibbah dan PPR Batu Muda, semalam. FOTO ihsan DBKL
Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan Operasi Kunci Air (OKA) terhadap penyewa projek perumahan rakyat (PPR) di PPR Muhibbah dan PPR Batu Muda, yang culas menjelaskan tunggakan sewa semalam.

Sebelum ini, DBKL menerusi Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar melaksanakan operasi sama di PPR Perkasa dan PPR Sri Alam pada 2 September lalu.

DBKL dalam kenyataannya di Facebook semalam berkata, pihaknya melakukan pelbagai cara memberi peringatan kepada penyewa untuk membayar tunggakan.

"Notis peringatan sudah dikeluarkan, pertemuan bersemuka juga dibuat bagi berbincang dan melakukan penstrukturan pembayaran, malah DBKL membuka kaunter bergerak bagi memudahkan urusan membayar tunggakan," katanya.

Menurutnya, namun masih ada yang berdegil menyebabkan operasi mengunci air terpaksa dilakukan.

"Bagi penyewa yang mahu DBKL membuka semula air yang dikunci, mereka hendaklah menjelaskan tunggakan yang ada," katanya.

Dalam pada itu, DBKL memberi peringatan kepada penyewa yang mempunyai tunggakan dan belum lagi diambil tindakan, masih ada masa menjelaskannya atau berjumpa dengan pihaknya untuk berbincang kaedah terbaik dalam menyelesaikan isu itu.

"Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 4:13 PM