FLAT PPR Kerinchi. FOTO Hafiz Sohaimi
FLAT PPR Kerinchi. FOTO Hafiz Sohaimi
Mohamad Hussin


“SEJAK mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada 2008, ada kalanya saya pernah tertunggak bayaran sewa sehingga tiga bulan.

“Saya akan pastikan tiada tunggakan lebih tiga bulan kerana bimbang dikenakan tindakan,” kata Shamsul Nordin, 51, penyewa PPR Kerinchi milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Shamsul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah berkata, dia bukan sengaja dan memberi alasan untuk tidak membayar sewa, tetapi terpaksa kerana kekurangan sumber kewangan.

“Kalau tertunggak pun saya akan pastikan tidak melebihi tiga bulan kerana bimbang dikenakan tindakan diusir atau menerima notis pemotongan bekalan air.

“Memanglah jumlah sewa RM124 tidak terlalu tinggi kepada orang lain, tetapi pada saya ia perlu digunakan untuk membayar keperluan lain.

“Saya tiada rumah lain kecuali PPR ini tempat kami sekeluarga berteduh, sebab itu susah macam mana pun saya tetap akan bayar walaupun lewat,” katanya di sini, semalam.

Shamsul berkata, pendapatan sebanyak RM1,600 sebulan sebagai pengawal keselamatan kadang kala tidak mencukupi untuk membayar sewa dan keperluan lain.

“Kami tinggal di sini lapan beranak dan ada anak yang bersekolah. Dua anak saya sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab masing-masing.

“DBKL ada menawarkan saya untuk membeli rumah ini pada 2010, tetapi masalah pinjaman bank tidak lulus serta faktor lain menyebabkan saya menyewa sehingga kini.

“Saya bukan orang senang, tetapi hutang tetap kena bayar walaupun kita miskin,” katanya.

Sementara itu, penyewa PPR Pudu Ulu, Azlina Arbain berkata, dia mempunyai tunggakan lebih RM900 menyebabkan bekalan air di rumahnya dikunci DBKL.

“Sebelum ini, saya tidak bekerja manakala suami bekerja sebagai pemandu teksi. Saya terpaksa menjaga anak kurang upaya (OKU) dan tidak mempunyai pendapatan tetap ketika itu,” katanya.

Kelmarin, Harian Metro menyiarkan DBKL mengalami kerugian RM58 juta berikutan tunggakan sewa terkumpul penyewa unit PPR dan Perumahan Awam (PA) sehingga 1 Julai lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan berkata, tunggakan itu membabitkan lebih 26,000 penyewa daripada keseluruhan 46,000 penyewa unit perumahan terbabit di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 4:30 AM