Sebahagian penyewa PPR Laksamana, Hiliran Ampang beratur membuat bayaran di kaunter DBKL.
Sebahagian penyewa PPR Laksamana, Hiliran Ampang beratur membuat bayaran di kaunter DBKL.
Oleh Fakhrurrazi Usuldin


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak lebih tegas terhadap penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang masih gagal menjelaskan tunggakan bermula tahun depan.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, setakat November ini, RM30 juta tunggakan sewa rumah PPR yang masih belum dibayar.

“Jumlah berkenaan adalah jumlah terkumpul oleh penyewa yang tidak bayar melebihi sepuluh tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, baru-baru ini.

Wan Mohammad berkata, kini bilangan penyewa PPR DBKL mencecah 45,000 dan dari jumlah itu 32,000 orang masih mempunyai tunggakan sewa melebihi tiga bulan.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk memudahkan mereka membayar sewa seperti kaunter di lobi menara DBKL dan kaunter bergerak ke lokasi PPR terpilih yang dibuka pada waktu malam.

Justeru, Disember ini, DBKL akan mengeluarkan notis penamatan penyewaan kepada penyewa yang berdegil tidak mahu menjelaskan tunggakan mereka,” katanya.

Ditanya sama ada DBKL akan mengambil tindakan terhadap penyewa yang dikategorikan sebagai miskin tegar, beliau berkata, suatu jawatankuasa khas ditubuhkan akan memutuskan perkara berkenaan.

“Jawatankuasa khas ini akan menilai kes penyewa berkenaan sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan mahkamah.

“Bagaimanapun, tidak semua berakhir dengan tindakan mahkamah, kerana DBKL akan bertindak mengikut apa yang terkandung dalam perjanjian dengan penyewa.

“Dalam perjanjian itu, sekiranya penyewa tidak membayar sewa melebihi tiga bulan, DBKL akan mengambil tindakan memotong bekalan air ke unit rumah PPR itu, menghantar notis penamatan penyewaan dan terakhir menyita,” katanya.

Menurutnya, DBKL juga mempunyai skim bantuan kepada penyewa yang dikategorikan miskin tegar dan sebagainya yang telah bermula sejak 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 5:55 AM