ANTARA rokok seludup yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Johor Bahru, malam tadi. FOTO NSTP
ANTARA rokok seludup yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Johor Bahru, malam tadi. FOTO NSTP
Mohd Sabran Md Sani


TAKTIK dua lelaki menyembunyikan rokok ke dalam bahagian pintu kereta tidak menjadi apabila kenderaan itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam di rumah di Taman Setia Tropika di Johor Bahru, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA Simpang Renggam Superintendan Ja’afar Kaimi berkata, suspek ditahan hasil serbuan sepasukan 12 anggota termasuk seorang pegawai membabitkan rampasan bernilai RM413,074, pada 10.15 malam.

“Hasil serbuan di lokasi itu, PGA berjaya menahan dua lelaki tempatan bersama 37 kotak besar rokok seludup pelbagai jenis.

“Turut dirampas dalam serbuan itu, sebuah kereta jenis Nissan Sylphy dan anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM413,074,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek menjalankan aktiviti jenayah rentas sempadan penyeludupan rokok dari Johor Bahru ke Singapura.

“Suspek ditahan dan kesemua barang salah dirampas di bawah kesalahan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Tangkapan dan rampasan seterusnya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 3:53 PM