Lelaki yang ditahan bersama rokok seludup di Jalan Persiaran Danga Perdana di Johor Bahru semalam. Foto Ihsan PGA
Lelaki yang ditahan bersama rokok seludup di Jalan Persiaran Danga Perdana di Johor Bahru semalam. Foto Ihsan PGA
Ibrahim Isa


LELAKI dipercayai pengedar rokok seludup ditahan dalam serbuan sepasukan tiga anggota dan pegawai Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam di Jalan Persiaran Danga Perdana di Johor Bahru semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Simpang Renggam Superintendan Ja’afar Kaimi berkata, sepasukan tiga anggota termasuk seorang pegawai menahan lelaki tempatan yang memandu kereta dalam keadaan mencurigakan pada 1.20 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu membawa kepada penemuan sebanyak 250 karton rokok seludup jenama ‘Manchester United Kingdom’ dianggarkan bernilai RM47,500.

“Kami percaya lelaki itu mengedar rokok seludup berkenaan ke kedai sekitar bandar raya ini dan semua rokok dirampas mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki itu dan rokok yang dirampas itu kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 12:23 PM