Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mahaizura Abd Malik


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 5 menumpaskan sindiket penyeludupan arak dan rokok dianggarkan berjumlah RM1.5 juta hari ini.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Ja’afar Kaimi berkata, serbuan jam 12.57 tengah malam di Kampung Teratai Bukit Serampang, Tangkak, Johor itu membabitkan dua pegawai dan 16 anggota dari Batalion 5 PGA Simpang Renggam serta Batalion 6 PGA Muar.

Menurutnya, dalam serbuan itu seorang lelaki ditahan berdasarkan kesalahan Akta kastam.

“Hasil serbuan, berjaya merampas 7,694 karton rokok seludup dan 648 botol serta 288 tin arak seludup pelbagai jenama di sebuah premis di berkenaan.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1,515,222,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, suspek menjadikan premis terbabit sebagai tempat penyimpanan rokok dan arak seludup untuk pasaran di sekitar daerah Tangkak dan Muar.

“Suspek ditahan dan semua barang dirampas di bawah kesalahan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Tangkapan dan rampasan seterusnya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hamidi Adam memaklumkan, risikan pihaknya selama beberapa hari membawa kepada penahanan 54 warga asing dalam Ops Kutip di sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang, petang semalam.

“Seramai 60 orang diperiksa dengan 54 daripadanya ditahan kerana tiada dokumen perjalanan dan permit kerja sah.

“Mereka terdiri 18 warga Bangladesh, 20 (Indonesia), Myanmar dan Pakistan masing-masing tiga orang serta seorang India.

“Dalam serbuan membabitkan 32 anggota JIM Kuala Lumpur itu, kita turut menahan sembilan wanita dari Indonesia,” katanya.

Katanya, tiga warga tempatan manakala tiga lagi warga asing yang mempunyai dokumen lengkap dan sah dilepaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 3:10 PM