GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Abdul Rahemang Taiming


POLIS giat memburu tiga lelaki dipercayai menyamar pegawai kesihatan yang aktif membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah sebelum mencuri dan menyamun barangan berharga pemilik rumah.

Dalam kejadian 1 tengah hari semalam di sebuah rumah di Kampung Batu 6, Jalan Apas, Tawau seorang wanita didatangi tiga individu yang memperkenalkan diri penguat kuasa Jabatan Kesihatan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki yang lengkap dengan pakaian seragam biru menggeledah rumah termasuk bilik mangsa dan melarikan barangan peribadi serta sejumlah wang tunai sebelum mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ia kes kedua dilaporkan sepanjang bulan ini.

“Polis sedang meneliti dan mengenal pasti identiti suspek termasuk melalui rakaman litar tertutup (CCTV) milik jiran mangsa,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan demonstrasi menyelamat tebusan sempena Program Latihan Dalam Perkhidmatan (Strike Team) IPD Tawau hari ini.

Susulan kes itu, Peter menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu mencurigakan bagi mengelak menjadi mangsa.

“Saya menyeru mana-mana pihak serta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek menghubungi balai polis terdekat atau Bilik Gerakan IPD Tawau di talian 089-772121,” katanya.

Mengenai program itu, Peter berkata, ia bertujuan meningkatkan tahap kesiap siagaan anggota Strike Team (ST) yang digerakkan untuk berdepan situasi genting termasuk operasi menyelamat tebusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 4:09 PM