Anggota polis menahan empat suspek kes curi dan ragut. FOTO ihsan polis
Anggota polis menahan empat suspek kes curi dan ragut. FOTO ihsan polis
Hazsyah Abdul Rahman


Tawau: Empat lelaki diberkas selepas dipercayai terbabit kes curi dan ragut di sekitar daerah ini dalam serbuan di Kampung Tawau lama, Kampung Titingan dan Batu 2 1/2, jam 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, semua suspek berusia antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

"Serbuan pertama di sebuah rumah Kampung Tawau Lama dan suspek berusia 20 tahun ditahan.

"Serbuan kedua dibuat di Kampung Titingan dan tiga lelaki berusia antara 19 hingga 28 tahun ditahan di jambatan dan di hadapan rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

"Seorang suspek dilaporkan pernah dipenjara 11 kali di atas pelbagai kesalahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dipercayai terbabit dengan kes ragut wanita berusia 24 tahun pada Rabu lalu.

"Semua suspek serta beberapa barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 12:44 PM