Nor Farhani Che Ad


POLIS menyelesaikan lima kes pecah kereta dan curi wang yang berlaku di sekitar Pulau Langkawi selepas menahan dua lelaki di hadapan sebuah hotel di Kuah, Langkawi, 29 November lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, suspek yang juga ahli kumpulan ‘Wan Dragon’ dikesan selepas melakukan jenayah itu di kawasan tempat letak kereta Plaza Langkawi, Pandah Mayah, Langkawi pada hari yang sama.

“Dalam kejadian ini, peniaga kedai berusia 42 tahun baru saja mengeluarkan wang tunai kira-kira RM37,000 di sebuah bank di Kuah, Langkawi.

“Mangsa dikatakan meninggalkan wang berkenaan di dalam kenderaannya dan keluar untuk urusan lain,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang berusia 20 dan 32 tahun itu bertindak memecah cermin kereta di sebelah penumpang hadapan dan melarikan beg galas mangsa yang mengandungi wang dan beberapa dokumen.

“Tindakan pantas pasukan ‘task force’ polis yang ketika itu menjalankan operasi cegah jenayah di kawasan itu berjaya mengekori sebelum menahan dua lelaki terbabit,” katanya.

Katanya, ketika tangkapan dilakukan, pihaknya berjaya merampas sebuah kereta, tiga telefon bimbit, alatan pecah kereta dan wang tunai milik mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek menetap di Gombak, Selangor dan mereka datang ke Langkawi semata-mata bagi menjalankan kegiatan jenayah itu.

Katanya, seorang suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Kita percaya, dengan penahanan dua suspek ini, kita berjaya menyelesaikan lima kes pecah kereta yang berlaku sejak tiga bulan yang lalu di daerah ini dengan anggaran kerugian sebanyak RM110,000.

“Bagaimanapun, kita masih meneruskan siasatan bagi mengesan rakan mereka yang masih bebas,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika mengeluarkan wang di bank serta tidak menyimpan wang dalam kenderaan supaya jenayah seperti itu dapat dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 6:35 PM
ZAINUDDIN menunjukkan wang tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO Shahrul Hafiz Zam
ZAINUDDIN menunjukkan wang tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO Shahrul Hafiz Zam