IAN Douglas Harmsworth. FOTO Hamzah Osman
IAN Douglas Harmsworth. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Lelaki warga Australia maut dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Pandak Mayah 3, pekan Kuah, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ian Douglas Harmsworth, 69, dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba untuk ke restoran berhampiran tempat kejadian.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi, Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh berkata, mangsa dirempuh kereta dipandu wanita berusia 44 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu kereta dalam perjalanan dari Jalan Pandak Mayah 3 menghala ke Jalan Persiaran Putra sebelum mangsa terbabit melintas dari kanan ke kiri secara tiba-tiba.

"Ekoran itu, pemandu kereta penduduk tempatan, gagal mengelak lalu merempuh warga asing terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mahadhir berkata, akibat rempuhan itu mangsa dilaporkan parah di kepala sebelum dihantar ke Hospital Langkawi (HL) menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di HL, 11.20 malam tadi. Bedah siasat akan dilakukan hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 9:47 AM