ANTARA barangan dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
ANTARA barangan dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman


MISTERI kehilangan duit tabung di Masjid Al-Hana, Kuah, terjawab selepas tertangkapnya lelaki di sebuah rumah di Kampung Padang Kandang di Langkawi, semalam.

Suspek berusia 43 tahun yang bersembunyi di rumah itu ditahan sepasukan polis yang menyertai Op Kesan, pada 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek diburu polis susulan laporan berserta bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 21 Februari lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan jenayah mencuri wang tabung masjid itu untuk kegunaan sendiri.

“Suspek yang juga penganggur turut memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan mencuri,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata, ketika ditahan, suspek dipercayai sedang bersembunyi di rumah itu kerana menyedari diburu polis.

“Selain wang tunai RM75, polis turut merampas pakaian, topi keledar, sarung tangan dan playar dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah curi itu.

“Suspek kini ditahan reman dan disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 9:18 AM