SEBAHAGIAN daripada lebih 100 penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Didik. FOTO Nur Saliawati Salberi
SEBAHAGIAN daripada lebih 100 penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Didik. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


LEBIH 100 penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Didik di Jalan Kubu, Melaka, petang semalam, bernasib baik apabila tiada saman dikeluarkan.

Sebaliknya mereka termasuk pembonceng dibawa balik ke Balai Polis Tengkera, malam tadi, diberi nasihat dan ceramah agama kira-kira sejam sebelum dibenarkan pulang pada jam 12 tengah malam.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shahrul Laili Masduki berkata, Op Didik bertujuan mendidik kumpulan penunggang motosikal khusus golongan remaja.

Beliau berkata, melalui operasi pihaknya akan memberi pendedahan dan mendidik penunggang mengenai peraturan jalan raya yang perlu mereka patuhi.

“Empat perkara diberi tumpuan dalam operasi ini iaitu mengenal pasti penunggang yang tiada lesen, mengesan motosikal yang cukai jalannya tamat tempoh, kenderaan tidak mengikut spesifikasi seperti ubah suai ekzos serta mengesan motosikal curi.

“Keseluruhannya sebanyak 116 motosikal diperiksa dalam operasi selama lebih lapan jam bermula 5 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberi nasihat kepada penunggang serta pembonceng motosikal yang ditahan.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Shahrul Laili berkata, hasil pemeriksaan mendapati 31 individu atau 27 peratus penunggang motosikal tiada lesen.

“Mereka ini bukan saja tiada lesen malah secara tidak langsung turut tidak mempunyai insurans.

“Malah 44 motosikal dikesan tiada cukai jalan yang sah serta 40 didapati melakukan ubah suai tidak mengikut spesifikasi termasuk tidak dipasang nombor pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tiada saman diberikan namun mereka yang tiada lesen tidak dibenarkan menunggang motosikal kecuali penjaga atau ibu bapa hadir ke balai.

“Selain itu motosikal yang tiada cukai jalan pula akan ditahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 2:36 PM