Polis menjalankan operasi khas yang mengesan ubah suai motosikal kesalahan tertinggi dicatatkan di Manjung. FOTO IHSAN PDRM
Polis menjalankan operasi khas yang mengesan ubah suai motosikal kesalahan tertinggi dicatatkan di Manjung. FOTO IHSAN PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: "Ubah suai motosikal supaya lebih nampak cantik dan untuk lebih glamour saja," itu alasan yang diberikan penunggang motosikal selepas didapati mengubah suai kenderaan mereka ketika ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, semalam.

Difahamkan, ada antara mereka ditahan ketika berkonvoi bersama rakan ke Lumut dan Teluk Batik yang menjadi antara lokasi santai 'mat motor' pada hujung minggu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya mengeluarkan 55 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi dilakukan di Jalan Pekan Lumut dan Kilometer 1 Jalan Lumut-Sitiawan bermula pada 4 petang hingga 9 malam.

"Sebanyak 55 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan seperti tiada pelekat L dan P, tiada insurans, cukai jalan dan lesen memandu serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Kesalahan mengubah suai aksesori dan tiada cermin sisi motosikal menjadi kesalahan tertinggi dicatatkan selepas 57 kenderaan dan 60 individu diperiksa dalam operasi berkenaan," katanya.

Nor Omar berkata, sebanyak 13 motosikal disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan ubah suai aksesori dan penunggangnya tiada lesen.

"Semua saman itu dikeluarkan kepada individu berusia antara 18 hingga 26 tahun dan mereka memberikan alasan hanya mahu glamour dan mengubah suai motosikal supaya cantik saja.

"Selain itu ada yang mendakwa motosikal itu bukan miliknya dan hanya meminjam daripada rakan supaya dia tidak disaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 3:37 PM