Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: “Saya tipu ibu bapa dengan memberitahu keluar lepak tapi pergi membonceng motosikal dengan rakan di sini untuk melihat gelagat penunggang lain,” kata seorang remaja lelaki yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di sini, awal pagi semalam.

Remaja berusia 14 tahun yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini memaklumkan dia menghabiskan masa hujung minggu dengan menonton gelagat penunggang motosikal di kawasan berkenaan.

“Boleh dikatakan setiap hujung minggu saya akan datang ke sini melihat aksi mereka. Namun, ahli keluarga tidak menyedari kerana saya memaklumkan keluar untuk lepak di kawasan berhampiran rumah tapi sebenarnya ke sini.

“Saya tidak ada motosikal, jadi saya tumpang rakan untuk ke sini semata-mata mahu tengok aksi mereka yang menyeronokkan,” katanya ketika ditemui selepas ditahan dalam operasi berkenaan.

Dia antara 20 remaja lelaki daripada 149 individu membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berusia 14 hingga 30 tahun ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi bermula jam 2 pagi.

ANTARA motosikal yang disita kerana cukai jalan tamat tempoh dan penunggang tiada lesen. FOTO NSTP
ANTARA motosikal yang disita kerana cukai jalan tamat tempoh dan penunggang tiada lesen. FOTO NSTP

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, sebanyak 200 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan pihaknya dalam operasi itu.

“Pemeriksaan dibuat terhadap 149 individu termasuk lebih 20 remaja terdiri daripada penunggang dan pembonceng membabitkan 123 motosikal yang berada di lebuh raya berkenaan ketika operasi dijalankan.

“Hasil pemeriksaan kami mengeluarkan 200 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh, gagal tunjuk lesen, ubah suai kenderaan, tiada cermin sisi dan lesen tamat tempoh selain 15 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut membantu dalam operasi ini.

“Kami juga menyita 26 motosikal didapati cukai jalan tamat tempoh dan penunggangnya tidak mempunyai lesen,” katanya ketika ditemui.

Seramai 17 pegawai serta 152 anggota polis terbabit selain bantuan anggota JPJ dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam operasi itu.

Azman berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 20-an yang dikehendaki atas kesalahan dadah di daerah ini.

“Operasi ini akan dijalankan secara konsisten di lokasi panas sudah dikenal pasti di sekitar negeri ini,” katanya.

ANTARA individu yang ditahan dalam operasi di Lebuhraya LEKAS, semalam. FOTO NSTP
ANTARA individu yang ditahan dalam operasi di Lebuhraya LEKAS, semalam. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 7:36 AM