ANTARA yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Kilometer 11.6 susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam pagi tadi. FOTO Faliq Lajim
ANTARA yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Kilometer 11.6 susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam pagi tadi. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


LELAKI yang menunggang motosikal curi antara yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Kilometer 11.6 susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam awal pagi tadi.

Pegawai Penguat kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Inspektor Mohd Nazli Nordin berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan selepas menunggang motosikal jenis Modenas CT115S merah yang dicuri.

"Lelaki itu didapati menunggang motosikal curi yang dilaporkan hilang 25 Disember lalu di Kelana Jaya.

"Suspek yang beralamat di Petaling Jaya itu sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah untuk tindakan lanjut.

"Sebelum ini suspek juga pernah ditangkap atas kesalahan memiliki motosikal curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan baru saja habis menjalani hukuman penjara tahun lalu," katanya.

Menurut Mohd Nazli, dalam operasi itu pihaknya mengeluarkan 106 saman POL 257.

Operasi bermula 1.30 pagi dan berakhir 3.30 pagi tadi itu, membabitkan 66 anggota termasuk pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Semua penunggang motosikal yang disaman itu berusia antara 15 hingga 27 tahun.

"Daripada saman yang dikeluarkan, 56 saman adalah tidak memiliki lesen, nombor plat tidak mengikut spesifikasi (19); salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) (16); tiada cermin sisi (8); tidak mempamerkan cukai jalan (3); tiada pelekat L dan P (2) serta masing-masing satu bagi lesen tamat tempoh dan ubah suai ekzos," katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Menurutnya, selain saman, 57 motosikal turut disita dan kenderaan itu serta penunggangnya dibawa ke IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Katanya, turut ditahan dua beradik berusia 13 dan 15 tahun.

"Namun mereka bukan penunggang sebaliknya pembonceng. Kita tahan dan panggil ibu bapa mereka untuk mengambil anaknya ke balai.

"Ibu bapa boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak Kanak 2001 berikutan mengabaikan anak mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 10:29 AM