LOBAK merah makanan utama arnab adalah mitos kerana karbohidrat tinggi.
LOBAK merah makanan utama arnab adalah mitos kerana karbohidrat tinggi.
Nurul Husna Mahmud


BAGI mereka yang membesar dengan animasi Looney Toons Bugs Bunny pastinya sering melihat karakter si arnab yang lincah itu kerap mengunyah lobak.

Kebanyakan orang yang tidak pernah membela spesies haiwan herbivor dalam kategori pseudo-ruminan itu menyangkakan lobak merah adalah makanan utama sesuai dengan diet.

Namun menurut Setiusaha Persatuan Penternak Arnab Malaysia (MARBA), Kamarulazwa Muhammad, 37, menyifatkan lobak merah makanan utama dan sihat bagi arnab adalah mitos.

"Dalam kehidupan liarnya, arnab tidak sering menjadikan lobak merah sebagai makanan ruji. Sebaliknya arnab menjadikan tumbuhan hijau seperti rumput dan dedaun yang terdapat di sekitar sebagai makanan.

"Arnab peliharaan adalah arnab domestik yang sudah diadaptasi dengan diet pracampuran diformulakan dalam memenuhi keperluan haiwan itu dalam bentuk palet.

"Lobak merah tinggi karbohidrat dan tidak sesuai diberi secara berlebihan dalam diet harian arnab. Bagaimanapun, lobak merah boleh diberikan, tetapi dalam kadar yang sedikit dan sebagai makanan ringan saja," katanya.

ARNAB haiwan peliharaan yang menjadi pilihan ramai orang.
ARNAB haiwan peliharaan yang menjadi pilihan ramai orang.

PALET dengan formula khas adalah diet seimbang kepada arnab.
PALET dengan formula khas adalah diet seimbang kepada arnab.

Tambah Kamarulazwa lagi, tumbuhan yang selamat untuk diet harian arnab adalah 'hay' sama ada Timothy hay ataupun Alfafa hay. Hay mempunyai kandungan protein dan serat yang baik memenuhi keperluan nutrisi arnab.

Mitos lain dalam penjagaan dan mungkin bagi yang baru pertama kali memelihara arnab sebagai haiwan perliharaan ialah haiwan itu perlu dimandikan.

"Memandikan arnab boleh mendatangkan risiko sehingga mungkin boleh menyebabkan kematian.

"Arnab yang terdedah kepada kelembapan tinggi berkemungkinan akan menyebabkan kembung.

"Sebenarnya arnab hanya perlu dirapikan bulu bagi spesies baka berbulu panjang selain memastikan persekitaran sangkar sentiasa bersih untuk mengekalkan kebersihan haiwan berkenaan," katanya.

Saranan bagi penternak atau individu yang pertama kali pelihara arnab, kata Kamarulazwa, perlu ada pengetahuan mengenai penjagaan haiwan itu selengkapnya.

KAMARULAZWA menyarankan bagi mereka yang petama kali membela arnab supaya dapatkan maklumat selengkapnya.
KAMARULAZWA menyarankan bagi mereka yang petama kali membela arnab supaya dapatkan maklumat selengkapnya.

"Tip kepada buat anda pertama kali ingin menjadikan arnab sebagai haiwan peliharaan yang paling utama adalah ilmu.

"Dapatkan maklumat selengkapnya mengenai penjagaan arnab sebelum memutuskan untuk mendapatkannya.

"Elakkan membeli arnab di kedai haiwan peliharaan yang tidak mementingkan kebajikan dan kebersihan sebaiknya dapatkan arnab daripada pembiak baka yang beretika,"katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai penjagaan arnab perlu diketahui pemiliknya ialah haiwan itu seharusnya dipindah milik selepas usia dua bulan.

"Dapatkan maklumat berkenaan arnab yang ingin dipelihara seperti jenis baka, usia dan jenis makanan digunakan.

"Elakkan daripada menukar jenis makanan secara mendadak kerana arnab akan berisiko untuk mendapat cirit-birit yang boleh menyebabkan kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 6:42 AM