KERETA Toyota Vios dilarikan penjenayah ditemui semula dalam tempoh 48 jam. FOTO ihsan polis
KERETA Toyota Vios dilarikan penjenayah ditemui semula dalam tempoh 48 jam. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TINDAKAN pantas polis membolehkan kereta Toyota Vios ditemui semula selepas 48 jam dilarikan penjenayah.

Kereta berkenaan milik seorang penolong pegawai perubatan dilaporkan dicuri seorang lelaki selepas memecah masuk rumah individu terbabit di Taman Prima Selayang, Gombak, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku pada 5.50 pagi apabila mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk selepas barang miliknya dan isteri hilang.

“Mangsa kehilangan wang tunai RM1,300, rantai emas, telefon pintar dan kereta Toyota Vios.

“Susulan itu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Selayang. Berpandukan maklumat mangsa, sepasukan polis ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Rawang bagi membuat pemantauan,” katanya.

Arifai berkata, ketika membuat pemantauan pasukan berkenaan melihat kereta Toyota Vios berwarna biru yang dilaporkan hilang.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan ketika cuba menaiki kereta berkenaan.

“ Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan.

“Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 9:24 PM