SUSPEK yang ditahan. FOTO ihsan Polis
SUSPEK yang ditahan. FOTO ihsan Polis
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Dalam tempoh kira-kira dua jam selepas menerima laporan, polis menahan empat suspek kes samun di Sri Aman, semalam.

Empat lelaki warga Filipina itu berusia 36 hingga 44 tahun ditahan pada 3.45 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, empat suspek terbabit merompak kedai haiwan peliharaan di Jalan Nanas, Sarikei dan melarikan bag mengandungi wang RM11,000, dua telefon bimbit dan dokumen peribadi menggunakan Toyota Vios.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Sarikei untuk siasatan lanjut. Maklumat mengenai suspek dan kenderaan digunakan kemudian disebarkan dalam WhatsApp kumpulan polis.

"Mesej itu kemudian dikongsi dengan kumpulan WhatsApp Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.

"Kira-kira 3 petang, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kanowit, Inspektor Mohd Razif Mohd Yusof dalam perjalanan pulang ke Kanowit terserempak dengan kenderaan yang digunakan suspek di simpang menghala ke Betong," katanya.

Katanya, Inspektor Razif segera membuat pusingan U mengejar Toyota Vios itu yang menghala ke Sri Aman.

Dev berkata, Inspektor Razif turut menghubungi polis Sri Aman untuk meminta bantuan.

"Pada 3.45 petang, Toyota Vios dinaiki suspek dipintas polis Sri Aman diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sri Aman, Inspektor Amir Wahid di, Wong Padong.

"Keempat-empat suspek mempunyai dokumen sah, masuk ke negeri ini pada awal Oktober lalu dan Toyota Vios yang digunakan adalah kereta sewa.

"Suspek dibawa ke IPD Sarikei untuk siasatan lanjut," katanya ini adalah kes pertama membabitkan warga Filipina di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 11:39 AM