Syaherah Mustafa


“MEREKA berdua sangat rapat...tidak sangka ‘pergi’ pun bersama-sama, saya reda kehilangan dua anak sekali gus,” luah Mohd Rohim Said, 57, bapa kepada dua mangsa lemas di Pantai Batu Layar, Desaru di Kota Tinggi semalam.

Mangsa, Siti Hajjar Adila Mohd Rohim, 23, dan kakaknya, Ummu Sulaiin Mohd Rohim, 25, ditemui lemas oleh orang ramai bersama seorang lagi mangsa, Asiah Abdul Rahman, 41, dari FELDA Chiku, Gua Musang.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa lemas berada di kawasan kira-kira tiga kilometer sebelum dihanyutkan ke tempat mereka ditemui dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang ke lokasi.

Mohd Rohim berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang rakan dari Johor pada jam 9.30 malam tadi dan memaklumkan kejadian menimpa anaknya itu.

“Sebaik mendapat berita ini, saya terus ke Kuala Lumpur sebelum ke Johor, namun belum sempat ke tempat kejadian, saya patah balik ke kampung selepas diberitahu urusan kedua-dua anak sudah diuruskan.

“Mereka berdua adalah anak keempat dan kelima daripada tujuh beradik serta sangat rapat antara satu sama lain selain selalu meluangkan masa untuk bercuti bersama-sama.

“Sebelum ini, mereka sudah memaklumkan kepada saya untuk ke Kota Tinggi bertemu rakannya, malah turut memberitahu untuk ke pantai bersiar-siar.

“Tidak sangka hasrat itu menyebabkan saya kehilangan mereka buat selamanya,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Telosan di Pasir Puteh hari ini.

Mohd Rohim yang kelihatan sebak menyambut kepulangan jenazah dua anaknya, mengakui terkilan dengan apa yang berlaku terutama Siti Hajjar baru saja menerima ijazah dalam bidang pendidikan sains pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam majlis konvokesyen pada 21 Oktober lalu.

Menurutnya, Ummu Sulaiin pula berkelulusan di peringkat ijazah dalam pentadbiran perniagaan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun lalu.

“Tiada sebarang perubahan sikap ditunjukkan oleh mereka dan hanya berkelakuan seperti biasa tetapi kelihatan teruja untuk bertemu rakan baik mereka yang dikenali sejak kecil di Kota Tinggi,” katanya yang juga Pengurus FELDA Kemahang 1.

Terdahulu, kedua-dua jenazah tiba di kediaman mereka pada 12.15 tengah hari sebelum disolatkan dan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Telosan.

Kedua jenazah itu selamat dikebumikan pada 2.30 petang dengan dihadiri seramai 100 orang termasuk ahli keluarga, saudara dan sahabat.

Berita berkaitan

Tiga bersaudara lemas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 3:16 PM
AHLI keluarga bersama dengan penduduk kampung mengangkat jenazah seorang daripada dua beradik yang ditemui lemas untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telosan, Pasir Puteh hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
AHLI keluarga bersama dengan penduduk kampung mengangkat jenazah seorang daripada dua beradik yang ditemui lemas untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telosan, Pasir Puteh hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar