MOHAMED Rafique (kiri), Pengerusi Maybank Islamic Berhad, Zainal Abidin Jamal (dua dari kiri) dan Ikon Islamic Relief Malaysia, Irma Hasmie Ibrahim (tiga dari kiri) beramah mesra dengan Mariam Sulaiman (kanan).
MOHAMED Rafique (kiri), Pengerusi Maybank Islamic Berhad, Zainal Abidin Jamal (dua dari kiri) dan Ikon Islamic Relief Malaysia, Irma Hasmie Ibrahim (tiga dari kiri) beramah mesra dengan Mariam Sulaiman (kanan).
Redzuan Muharam


SETIU: “Saya dan anak-anak hanya makan apa yang ada kerana tidak mampu, malah tiada persiapan dibuat untuk menyambut Ramadan esok,” kata bapa tunggal, Rohim Mat Arifin, 56, yang kudung kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2012.

Lebih menyedihkan, kemalangan itu meragut nyawa isterinya, Mek Zainab Mahmud dan kini Rohim meneruskan hidup dengan tinggal bersama dua anak yang berumur 11 dan 17 tahun.

Menurut Rohim, selepas kemalangan itu, dia tidak dapat bekerja dan kini bergantung hidup dengan bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pemergian isteri kehilangan besar buat saya kerana sejak itu, saya ibu dan bapa kepada anak.

“Sebelum insiden itu, saya bekerja sebagai buruh binaan, tetapi hilang mata pencarian kerana sebelah kaki kudung dan kini berjalan dengan bantuan tongkat.

“Walaupun mendapat bantuan bulanan, jumlah itu tidak cukup kerana RM100 terpaksa digunakan untuk membayar sewa rumah.

“Jadi, baki yang ada itu digunakan untuk menyara dua anak, tetapi ia tidak cukup kerana anak bongsu masih bersekolah manakala yang sulung terpaksa berhenti ketika di tingkatan tiga disebabkan masalah kewangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Bantuan Bekalan Makanan Regional Ramadan Relief di Pantai Rhu Sepuluh di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Pengarah Serantau Maybank Negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu (PKT), Abd Razak Kamardin dan Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM), Zairul Shahfudin Zainal Abidin.

Menurut Rohim, dia sekeluarga juga pernah mengikat perut kerana tiada wang untuk membeli makanan.

Rohim bersyukur kerana kedua-dua anaknya memahami kesusahan yang dialami mereka sekeluarga.

Sementara itu, Mohamed Rafique berkata, seramai 150 keluarga nelayan daripada tujuh kampung di daerah Setiu menerima manfaat daripada program berkenaan.

Katanya, sumbangan itu membabitkan bekalan makanan seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan lain-lain keperluan asas bernilai RM250.

“Program ini selaras dengan misi Maybank Islamic untuk menginsankan perkhidmatan kewangan Islam di seluruh cawangan, sekali gus meringankan beban masyarakat.

“Kami bersyukur kerana program ini sudah memasuki tahun ketujuh penganjurannya dan bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan di Malaysia, malah saudara Islam di sembilan negara ASEAN lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 5:31 AM