Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol remaja bawah umur, bulan lalu.

Tertuduh, Che Rohaiza Che Rohim, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun.

Kejadian itu berlaku di rumah di Tanah Merah pada 2 petang, 28 dan 29 Ogos 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana pendakwaan bagi kes itu tidak boleh diberikan ikat jamin.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon supaya dikenakan hukuman minimum dan meminta hukuman bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak.

Mahkamah menangguhkan tarikh hukuman bagi kes itu pada 26 September ini sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 1:42 PM