BOMBA dan polis mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA dan polis mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Ibrahim Isa


TIGA wanita termasuk dua dipercayai adik-beradik ditemui lemas di Pantai Batu Layar, Desaru, di Kota Tinggi, 5.30 petang hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Asiah Abdul Rahman, 41, dari FELDA Chiku, Gua Musang; Ummu Sulaiin Mohd Rohim, 25, dari Kampung Kedai Telosan, Pasir Puteh dan Siti Hajjar Adila Mohd Rohim, 23, beralamat terakhir di rumah kakitangan FELDA Chiku.

Mereka ditemui lemas oleh orang awam.

Difahamkan, mereka dari Kelantan dan datang ke Kota Tinggi untuk bertemu saudara mereka sebelum berkelah di pantai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.35 petang sebelum sepasukan lapan anggota membabitkan satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, apabila tiba, pihaknya mendapati terdapat tiga wanita dipercayai lemas ditemui orang ramai di kawasan berhampiran.

Katanya, pihaknya difahamkan tiga wanita itu lemas di kawasan kira-kira tiga kilometer sebelum dihanyutkan ke tempat mereka ditemui.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang melakukan pemeriksaan sebelum mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

“Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan dan buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 7:39 PM