Anggota MAQIS menunjukkan daging tikus yang dirampas di LTAPP, Bayan Lepas semalam. Foto Ihsan MAQIS
Anggota MAQIS menunjukkan daging tikus yang dirampas di LTAPP, Bayan Lepas semalam. Foto Ihsan MAQIS
Zuhainy Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas daging tikus yang dibawa masuk seorang penumpang di laluan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas semalam.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata, pemeriksaan mendapati ia dibawa penumpang yang berasal dari Myanmar.

“Penumpang berusia lingkungan 30-an itu didapati membawa masuk daging tikus kering seberat 780 gram tanpa dokumen permit import dan sijil kesihatan dari negara pengeksport.

“Tujuan sijil kesihatan veterinar ini adalah bagi memastikan barangan atau daging berkenaan bebas penyakit dan virus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zarina berkata, MAQIS turut merampas konsainan mangga harumanis yang dibawa masuk penumpang Thailand tanpa sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil fitosanitasi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati penumpang berkenaan membawa mangga harumanis seberat 59.8 kilogram (kg) yang dianggarkan beernilai RM2,565.68.

“Tujuan larangan pengimportan ini adalah bagi menghalang risiko kemasukan serangga perosak ke Malaysia seperti kumbang pengorek sekali gus merosakkan industri mangga negara.

“Selain daripada larangan pengimportan, kemasukan buah oleh penumpang melalui udara juga adalah dilarang,” katanya.

Menurut, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah daripada MAQIS menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dan pintu masuk ke negara ini dalam isu membabitkan kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 1:14 PM