FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


ORANG kenamaan (VIP) antara individu dikesan terbabit dalam aktiviti pemburuan haram di Taman Negara sehingga memusnahkan khazanah negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menerima maklumat ada golongan VIP terbabit dalam kegiatan itu termasuk ada dijadikan sebagai hobi.

Menurutnya, hal ini sangat serius dan sekiranya mereka ini dapat dikenal pasti, senjata api akan dirampas.

“Malah jika ditahan di lokasi, mereka tidak akan terlepas daripada proses pendakwaan.

“Selain itu, kita juga mengenal pasti berbelas sindiket terdiri warga asing dan tempatan terbabit dalam kegiatan pemburuan haram ini,” katanya ketika sidang media Ops Khazanah di Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan, Datuk Zahari Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Fakhrul Hatta Musa.

Abdul Hamid berkata, golongan VIP yang menjadikan aktiviti pemburuan sebagai hobi dinasihatkan supaya akur dan sahut misi menyelamatkan flora serta fauna.

“Jangan mereka jadi penyumbang kepada kepada kemusnahan khazanah negara,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut memberi kelulusan sekiranya pemburu haram bertindak mencederakan atau menyebabkan kematian, mereka (polis) dibenarkan melepaskan tembakan.

“Ini hutan kita..tetapi warga asing pula boleh ugut pegawai penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Bidor, Perak dikerahkan sepanjang Ops Bersepadu Khazanah.

“Saya bagi kelulusan membekalkan mereka peralatan lebih praktikal untuk memudahkan tugasan ketika operasi.

“Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah mencadangkan tambahan hukuman sebat terhadap pemburu haram,” katanya.

Beliau juga berharap hukuman sebat ini diluluskan dan dibentang di Parlimen kerana ia akan menakutkan serta menghindari mereka meneruskan perbuatan kejam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 3:39 PM