3,500 pemilikan lesen memburu dibatalkan PDRM dalam usaha pihak berkuasa mengekang aktiviti pemburuan haram. FOTO NSTP
3,500 pemilikan lesen memburu dibatalkan PDRM dalam usaha pihak berkuasa mengekang aktiviti pemburuan haram. FOTO NSTP
Faris Fuad dan Noor Atiqah Sulaiman


SEBANYAK 3,500 pemilikan lesen memburu dibatalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha pihak berkuasa mengekang aktiviti pemburuan haram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata, penarikan semula lesen memburu itu dilakukan bagi menghentikan kegiatan pemburuan haram di negara ini yang dilihat semakin berleluasa.

"Sehingga kini kita sudah keluarkan lebih 8,500 syarat memburu dan sejumlah 3,500 sudah dibatalkan dan bakinya akan ditarik secara berperingkat.

"Bagaimanapun syarat menjaga keselamatan kekal. Sekiranya individu itu ada tanah atau kebun dan mahu menjaga tanamannya daripada diganggu oleh haiwan liar... itu kita benarkan.

"Asalkan mereka tampil ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan kebenaran khas bagi menjalankan aktiviti memburu haiwan perosak seperti khinzir," katanya dalam sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), di Dengkil, Selangor, tadi.

Abdul Hamid berkata dengan kuasa yang diberikan kepadanya, beliau akan menghadkan pengeluaran lesen atau permit memburu dan hanya memberikannya kepada individu yang benar-benar layak seperti Orang Asli.

"Kita faham, Orang Asli ini memburu untuk periuk nasi mereka, memburu haiwan untuk dijadikan makanan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya juga akan membatalkan semua pemilikan raifal yang dikenal pasti sebagai senjata api popular untuk pemburu haram.

"Saya tahu pemilik lesen api ini ada yang gusar mengenai perkara ini, namun mereka perlu faham bahawa pengeluaran lesen ini dikeluarkan untuk keselamatan diri dan menjaga tanaman daripada diganggu haiwan perosak.

"Ia bukannya digunakan untuk masuk ke hutan simpan bagi tujuan memburu dan bermegah megah dengan hasil buruan berkenaan.

"Diharapkan aktiviti memburu ini dapat dikurangkan dan ada kesedaran sebagai manusia supaya tidak melakukan aktiviti seumpama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 3:49 PM