KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. FOTO Mustaffa Kamal
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. FOTO Mustaffa Kamal
Muhaamad Hafis Nawawi


GOLONGAN orang kenamaan (VIP) antara individu dikesan terbabit dalam aktiviti pemburuan haram yang dijadikan sebagai hobi, sekali gus memusnahkan khazanah negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menerima maklumat golongan VIP terbabit dalam kegiatan itu bukan saja memburu hidupan liar, malah spesies yang terancam.

Menurutnya, perkara itu dianggap serius dan sekiranya mereka yang terbabit berjaya dikenal pasti maka senjata api mereka akan dirampas.

“Malah, jika ditahan di lokasi (pemburuan), mereka tidak akan terlepas daripada proses pendakwaan.

“Selain itu kami mengenal pasti berbelas sindiket terdiri daripada warga asing dan tempatan terbabit dalam kegiatan pemburuan haram ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Op Khazanah di Bukit Aman, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan) Datuk Zahari Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Fakhrul Hatta Musa.

Abdul Hamid berkata, golongan VIP yang menjadikan pemburuan hidupan liar dan terancam sebagai hobi dinasihatkan supaya akur dengan menyahut misi menyelamatkan flora serta fauna.

“Jangan mereka jadi penyumbang kepada kemusnahan khazanah negara.

“Saya memberi kelulusan sekiranya pemburu haram bertindak mencederakan atau menyebabkan kematian (anggota pihak berkuasa), mereka (polis) dibenarkan melepaskan tembakan.

“Ini hutan kita, tetapi warga asing pula boleh ugut pegawai penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Bidor, Perak membabitkan 1,073 orang dikerahkan terbabit Op Khazanah.

“Saya bagi kelulusan untuk bekalkan mereka dengan peralatan lebih praktikal bagi memudahkan tugasan ketika operasi.

“Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mencadangkan tambahan hukuman sebat ke atas pemburu haram jika mereka didapati bersalah,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap hukuman sebat itu diluluskan dan dibentang di Parlimen kerana ia akan menakutkan serta menghindarkan mereka meneruskan perbuatan kejam terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:15 AM