FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

BAPA anak satu terpaksa menyambut Deepavali dalam penjara selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 terhadapnya kerana menggunakan kad debit curi bagi membeli rokok dan minuman keras.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap R Rajkumar, 33, selepas dia mengaku bersalah menggunakan kad debit milik ejen pembiayaan pinjaman, Lee Chin Guan, 34, untuk membeli lima kotak rokok dan pelbagai jenis minuman keras yang kesemuanya berjumlah RM373.40.

Mekanik itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di KK Mart, Taman Kok Lian, Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 6.57 pagi, 9 Julai lalu dan pendakwaan mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Rajkumar juga akan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap.

“Isteri saya Orang Kurang Upaya (OKU) dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun, isteri tidak bekerja hanya bergantung bantuan kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 4:16 PM