Kira-kira 60 peratus siswazah Ijazah Pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian. FOTO Arkib NSTP
Kira-kira 60 peratus siswazah Ijazah Pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

HAMPIR 60 peratus siswazah peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian mereka.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, fakta itu berdasarkan dapatan daripada Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2018 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Bilangan graduan belum bekerja selepas setahun tamat pengajian bagi peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas adalah 30,765 orang atau 59.9 peratus daripada 51,365 graduan yang belum bekerja,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh) yang ingin tahu berapa jumlah graduan lepasan ijazah yang dikesan masih menganggur dan apakah langkah diambil kementerian untuk menangani lambakan graduan menganggur itu.

Sehubungan itu, Maszlee berkata, KPM melaksanakan saringan awal ketat terhadap program yang hendak ditawarkan oleh universiti awam (UA).

Beliau berkata, UA perlu menjalankan kajian analisis terperinci termasuk kajian pasaran terhadap program akademik yang hendak ditawar, dijumud, dibeku atau dilupuskan.

Program akademik ditawarkan katanya, juga perlu mengambil kira keperluan guna tenaga dan bidang kritikal yang sudah dikaji dan dibentangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perangkaan Malaysia, Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Talentcorp, Jobstreet serta agensi berkaitan yang turut hadir dalam mesyuarat saringan awal dan perakuan program.

Menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai perancangan sebenar ingin dilakukan kementerian terhadap 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) yang dikatakan akan ditutup, Maszlee berkata, jawatankuasa khas sedang dibentuk bagi meneliti perancangan khusus dan hala tuju IPG.

“Semua 27 IPG di seluruh negara dikekalkan bagi melaksana fungsi latihan perguruan serta latihan pembangunan profesionalisme guru dalam perkhidmatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 9:01 PM