Amir Abd Hamid


PENGAMBILAN graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) sudah bermula sejak 2011.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan program itu kemudian diteruskan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, program ijazah dari lepasan UEC itu adalah adalah bagi memenuhi keperluan dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

"Program yang disebut Yang Berhormat Simpang Renggam (Dr Maszlee Malik) itu sudah bermula sejak 2011 dan pada waktu Yang Berhormat menjadi menteri (Pendidikan) juga, program terbabit terus dilaksanakan.

"Jadi, sebenarnya perkara ini memang dalam pengetahuan Yang Berhormat. Hakikatnya dasar itu berlaku, pengambilan pelajar kelulusan UEC untuk tujuan kemasukan ke IPG bagi mata pelajaran Bahasa Cina untuk SJKC," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Maszlee (Bebas-Simpang Renggam) sama ada kerajaan mengiktiraf secara sebahagian lulusan UEC berikutan terdapat pengambilan graduan sijil berkenaan untuk memasuki IPG.

Kerajaan pada 2012 menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam bahasa Melayu.

Media juga sebelum ini melaporkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan tidak pernah menyatakan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pertemuan beliau bersama pimpinan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong) pada Julai lalu.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan.

Menjawab soalan asal Maszlee mengenai inisiatif terkini kementerian dalam menjaga dan meningkatkan kualiti PISMP, Radzi berkata, kerajaan sentiasa komited memperkasakan pendidikan guru bagi melahirkan guru yang terlatih dan kompeten.

"Antara usaha yang dilaksanakan adalah memperkukuhkan PISMP di IPG. Ini turut membabitkan aspek pemilihan calon dan kurikulum.

"Melalui program ini, kementerian akan dapat menyediakan guru yang berkualiti untuk meningkatkan standard pendidikan, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025," katanya.

Dr Mohd Radzi Md Jidin. FOTO Bernama
Dr Mohd Radzi Md Jidin. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 12:54 PM