DR Mohamad Fazli
DR Mohamad Fazli
myMetro

Kuala Lumpur: Isu pengangguran graduan perlu dilihat serius oleh kerajaan terutama menjelang pembentangan Bajet 2017, Jumaat ini.

Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Manusia dan Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, dalam keadaan ekonomi lembap sekarang banyak graduan tidak mendapat pekerjaan.

“Dalam mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pelaburan modal insan perlu dititikberatkan dan kerajaan perlu merangka sesuatu supaya graduan yang baru tamat pengajian mendapat pembelaan sewajarnya.

“Bajet kali ini perlu beri perhatian khusus kepada golongan ini iaitu menyediakan peluang dan ruang bagi mereka menikmati pendidikan ke tahap tertinggi, contohnya MyBrain15 yang diperkenalkan pada 2011 membabitkan pembiayaan program ijazah sarjana dalam negara (MyMaster), program pembiayaan pengajian ijazah kedoktoran dalam negara (MyPhD) dan program MyPhD Industri,” katanya.

Mohamad Fazli berkata, skim MyBrain15 sebagai penyelesaian bagi graduan menganggur apabila mereka boleh menyambung pengajian ke tahap tertinggi sementara menunggu ekonomi tempatan dan global stabil.

“Saya harap kerajaan pelbagaikan insentif dan bentuk skim bagi graduan melanjutkan pendidikan di peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran.

“Selain itu, saya harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuat pemantauan serius berhubung kos sara hidup,” katanya.

Katanya, kos sara hidup tinggi menggusarkan rakyat dan kerajaan melalui KPDNKK perlu memainkan peranan tegas membendung masalah itu.

“Kerajaan perlu berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif dan pelan tindakan bertepatan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup masyarakat pada masa kini.

“Masyarakat mula bimbang dan kini tertekan dengan kos sara hidup semakin naik, kerajaan terutama KPDNKK perlu melakukan sesuatu terhadap pengilang dan pemborong yang memanipulasi harga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 3:35 PM