LOKASI lelaki itu dipercayai terjun. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI lelaki itu dipercayai terjun. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Khidir Zakaria


LELAKI ditemui mati selepas terjun dari tingkat lapan sebuah resort di Jalan Pantai di Port Dickson, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai terjun dari tingkat berkenaan berdasarkan penemuan selipar miliknya.

Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian daripada pengawal keselamatan resort berkenaan pada 10.07 malam sebelum sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan pemeriksaan, lelaki itu berasal dari Taman Orkid, Port Dickson dipercayai masuk ke kawasan resort sebelum terjun dari tingkat lapan bangunan itu.

“Siasatan mendapati lelaki itu dipercayai mempunyai masalah rumah tangga dan hutang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Dalam kes berasingan, Aidi Sham berkata, mayat seorang lelaki warga emas ditemui di kawasan kebun di Perkampungan Orang Asli Sunggala di Port Dickson, 12.20 tengah hari semalam.

“Polis ke lokasi sejurus menerima panggilan. Mayat ditemui dalam keadaan memakai seluar pendek dan sudah membengkak, namun siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

Katanya, identiti mangsa berusia 71 tahun itu sudah dikenal pasti dan dicamkan oleh ahli keluarga di di Hospital Port Dickson.

Beliau berkata, punca kematian mangsa tidak dapat dikenal pasti dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 1:00 PM