TANGKAP layar video menunjukkan kakitangan Jabatan Laut cuba menaikkan mayat yang ditemukan terapung di Port Dickson. FOTO Ihsan Pembaca.
TANGKAP layar video menunjukkan kakitangan Jabatan Laut cuba menaikkan mayat yang ditemukan terapung di Port Dickson. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Mayat lelaki memakai singlet dan seluar pendek berwarna hitam ditemukan terapung berhampiran jeti Port Dickson, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pengawal keselamatan Jabatan Laut Port Dickson yang memaklumkan penemuan mayat berkenaan pada 1.40 tengah hari.

Katanya, lelaki yang tidak diketahui bangsa itu dipercayai berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun.

Menurutnya, ketika ditemui lelaki itu memakai rantai leher berwarna kekuningan dan tali rantai berwarna merah di sebelah tangan kanan serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Sejurus menerima maklumat, pihak polis dibantu bot Jabatan Laut Port Dickson membawa mayat itu ke darat.

"Siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi Sham berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, hasil semakan mendapati tiada sebarang laporan orang hilang dibuat di mana-mana Balai Polis di bawah Pentadbiran IPD Port Dickson dalam tempoh terdekat bagi mengenalpasti identiti mangsa.

Katanya, usaha mengesan waris masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana Balai Polis berdekatan atau menghubungi Hotline IPD Port Dickson di talian 06-6462999.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 11:11 PM