Mahaizura Abd Malik


LAPORAN Integriti Kewangan Global 2017 mendedahkan Malaysia kerugian RM1.8 trilion menerusi aliran kewangan tidak sah dan sebahagiannya berpunca daripada rasuah yang diamalkan dari 2005 hingga 2014.

Dapatan itu memberi bayangan kemakmuran dikecapi Malaysia hari ini mungkin akan musnah, malah negara boleh menjadi sedaif negara Afrika atau Zimbabwe yang suatu ketika dulu mata wangnya tidak bernilai.

Natijahnya, tiada siapa mahu melancong, apatah lagi melabur jika indeks rasuahnya teruk, sekali gus menjejaskan ekonomi.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Dasar & Strategik, Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, senario itu boleh berlaku dan memusnahkan negara jika rasuah tidak diperangi sehabis mungkin.

“Mengambil contoh Zimbabwe, rakyatnya terpaksa membawa seguni duit dalam troli untuk membeli barang keperluan kerana mata wangnya tidak laku.

“Kalau kita tidak jaga negara ini dan biarkan rasuah, kita juga boleh jadi macam Zimbabwe.

“Rasuah menyebabkan banyak cukai tidak dapat dikutip dan negara hilang punca pendapatan yang sepatutnya wang itu digunakan untuk membaik pulih infrastruktur dan kemudahan untuk meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat.

“Banyak faktor menyebabkan rasuah berlaku. Isunya bukan sebab gaji kecil atau kesempitan hidup, tetapi sikap tamak seseorang itu yang suka mengambil kesempatan.

“Rasuah juga boleh dikaitkan dengan masalah mental kerana mengambil rasuah adalah satu keseronokan.

“Sebagai contoh, ada kes pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat serbuan rasuah menemui duit disimpan merata tempat termasuk di atas loteng,” katanya.

Atas sebab itu, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan Januari lalu memfokuskan enam perkara merangkumi 115 inisiatif dalam usaha memerangi rasuah bermula dari peringkat atas ke bawah.

ANIS YUSAL YUSOFF
ANIS YUSAL YUSOFF

“Kita mahu membetulkan tadbir urus politik yang mana kita sedang memperkenalkan akta tentang pembiayaan politik supaya ada sistem dan prosedur duit keluar masuk parti atau poket selain isytihar aset.

“Selain itu, fokus kita juga kepada pentadbiran sektor awam kerana berdasarkan rekod SPRM, 63 peratus kes rasuah tertumpu dalam kalangan penjawat awam serta melihat perolehan awam kerana ini paling mudah untuk orang memanipulasi duit.

“Fokus kita juga termasuk memastikan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan perundangan tanpa gagal dan sistem keadilan kes rasuah diadili mahkamah, hakim terlatih dan berpengalaman dengan cepat tanpa memberi peluang kepada pesalah melarikan diri.

“Akhir sekali kita mahu mewujudkan persekitaran perniagaan bersih ikut peraturan, tatatertib serta tadbir urusnya supaya semua pihak dapat manfaat dan hidup aman damai,” katanya.


Malaysia sasar perbaiki kedudukan CPI 2019

Kuala Lumpur: Beberapa inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan dalam memerangi rasuah dijangka dapat memperbaiki kedudukan dan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata, sejak laporan CPI dikeluarkan 1995 hingga tahun lalu Malaysia mengalami trend merosot.

“Walaupun kedudukan CPI Malaysia naik satu anak tangga daripada 62 kepada 61 tahun lalu namun ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan kerana masih terlalu jauh dan banyak lagi perlu diperbaiki.

“Perlu diingat indeks ini bukan hanya melihat aktiviti rasuah, tetapi mengambil kira aspek lain contoh kebebasan media, isu kronisme dan sebagainya.

“Dengan adanya inisiatif baharu dibuat seperti Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tindakan diambil ke atas kes-kes rasuah, insya-Allah kita jangkakan ini semua memberi kesan positif kepada kedudukan CPI 2019,” katanya.

Menurut beliau, kedudukan dan skor markah CPI dilihat amat penting sebagai penanda aras prestasi keseluruhan dan keupayaan sesebuah negara.

“Keputusan CPI 2019 yang bakal dikeluarkan Januari tahun depan amat penting bukan saja kepada kerajaan, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat di negara ini.

“Kedudukan dan skor tinggi akan memberi kesan positif terutama dalam konteks pelaburan negara. Walaupun ada lagi nilai pengukur lain termasuk laporan Bank Dunia dan sebagainya namun CPI salah satu yang akan dinilai dan dilihat pelabur asing,” katanya.

Menurut Dr Muhammad, pencapaian CPI yang baik akan menjadi nilai tambah kepada Malaysia yang sememangnya memiliki potensi dalam dunia pelaburan.

“Mengambil contoh Singapura yang biasanya dalam kedudukan kelima teratas, tetapi negaranya kecil berbanding Malaysia, ini potensinya tinggi.

“Ramai pelabur negara luar sanggup datang ke sini, tetapi apabila mendengar CPI kita mereka risau.

“Jadi, kalau ada perubahan berlaku di Malaysia dari sudut kurang rasuahnya, mesra pelancong serta kurang birokrasi, ini membantu menarik orang luar datang ke Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, CPI 2018 menyaksikan Denmark berada di tangga pertama dengan skor 88 mata, diikuti New Zealand (87), Finland (85), Sweden (85) dan Norway (84) manakala Somalia, Sudan Selatan dan Syria menduduki tangga terbawah daripada 180 buah negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 3:02 PM