Bangunan SPRM
Bangunan SPRM
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Penurunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikaitkan dengan tiada penutupan dua kes berimpak tinggi, iaitu kes SRC International Sdn Bhd (SRC) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak tepat.

Ini kerana kedua-dua kes ini sedang dalam proses perbicaraan mahkamah dan masih berjalan.

Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Hafaz Nazar berkata, bagi kes 1MDB, kes masih lagi berjalan, namun perbicaraan ditangguhkan beberapa kali kerana beberapa kekangan seperti penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bagi kes SRC, umum mengetahui Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan, manakala Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda berjumlah RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman itu sehingga rayuan kedua didengar di Mahkamah Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hafaz berkata, CPI 2021 yang menunjukkan skor Malaysia turun ke 48 markah pada 2021, berbanding 51 pada tahun sebelumnya adalah berdasarkan sembilan daripada 13 sumber data sekunder bagi pengiraan CPI 2021.

Menurutnya, ia membabitkan organisasi dan firma antarabangsa seperti Bertelsmann Foundation, Economist Intelligence Unit; International Institute for Management Development (IMD); Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence; Political Risk Services International; World Justice Project; World Economic Forum; Global Insight Country Risk Rating dan Varieties of Democracy Project (V-Dem).

"Antara aspek persepsi yang diukur dalam kajian ini termasuk tahap atau kadar persaingan perniagaan dalam negara, persepsi tahap rasuah oleh usahawan, kebebasan sistem kehakiman, keprofesionalan perkhidmatan awam, persepsi terhadap ketirisan perolehan, akses kepada maklumat dan tahap demokrasi negara.

"Pada masa sama, sembilan sumber pengukuran berlainan yang diambil kira, penurunan yang paling signifikan adalah merujuk pada kedudukan Tinjauan Pendapat Eksekutif Forum Ekonomi Dunia dan IMD World Competitiveness Center World Competitiveness Yearbook Executive Opinion Survey.

"Jika dilihat secara umumnya, kedua-dua sumber kajian ini lebih menumpukan terhadap pelaburan dalam inovasi, aktiviti ekonomi yang pelbagai, polisi umum yang dapat menyokong ekonomi negara, governans, kualiti infrastruktur dan penggunaan teknologi, terutama dalam aspek penyebaran maklumat," katanya.

Mengenai SPRM yang menjadi tumpuan selaku agensi tunggal penguatkuasaan antirasuah di negara ini, beliau berkata, setiap aspek kajian yang dilaksanakan membabitkan beberapa badan dan institusi kerajaan pemegang taruh seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Institut Integriti Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta badan penguat kuasa seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Persaingan.

Menurutnya, selain rasuah, skop yang termasuk dalam pengiraan CPI ini adalah persepsi terhadap penyalahgunaan dana kerajaan, kebolehan negara untuk menguatkuasakan mekanisma integriti, komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah, perlindungan terhadap pendedah maklumat dan buat pertama kali, CPI kali ini juga mengambil kira keberkesanan hak asasi manusia yang tersedia dalam sebuah negara.

"Malah tidak adil jika dikatakan SPRM tidak bersungguh-sungguh ke arah penambahbaikan ini kerana kita sentiasa menyokong dan terbabit dalam usaha yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata, antaranya tindakan proaktif dalam pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, pembangunan dan penguatkuasaan liabiliti korporat Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694]; khidmat nasihat berterusan dalam pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) di perkhidmatan awam; memasukkan elemen pencegahan rasuah di sekolah rendah dan di institusi pengajian tinggi serta membantu ke arah pembangunan Akta Pembiayaan Dana Politik; penambaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010; meningkatkan lagi ketelusan perolehan kerajaan dan pelbagai tindakan berterusan bersama pihak yang terbabit.

"Tanpa menuding jari mencari salah mana-mana pihak, atau memberikan pelbagai alasan yang tidak memberi apa-apa manfaat, apa yang lebih penting, adalah memikirkan strategi lebih tepat, penambahbaikan kelemahan kena pada tempatnya dan pendekatan lebih baik untuk meningkatkan kadar indeks persepsi rasuah bagi tahun hadapan.

"Suruhanjaya akan terus melaksanakan tugas menguatkuasakan undang-undang pencegahan rasuah, berdasarkan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 5:10 PM