SPRM melaksanakan dua penilaian agensi awam yang hampir sama dengan CIA. FOTO Arkib NSTP
SPRM melaksanakan dua penilaian agensi awam yang hampir sama dengan CIA. FOTO Arkib NSTP
Mohamad Tarmize Abdul Manaf

Antara perkara penting yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat ialah sasaran Malaysia untuk berada di kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Komitmen besar kerajaan itu disasarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Walaupun banyak pihak berpandangan bahawa CPI bukan pengukur sebenar situasi rasuah di sesebuah negara, namun indeks itu tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan imej negara di persada dunia.

Korea Selatan antara negara berjaya memperbaiki skor dan kedudukan dalam CPI. Dalam CPI 2016, Korea Selatan memperoleh skor 53 mata dan berada di kedudukan ke-52 daripada 176 negara. Enam tahun berturut-turut Korea Selatan merekodkan peningkatan dalam indeks dunia itu. Terkini, CPI 2022 menunjukkan skor Korea Selatan meningkat 10 mata iaitu kepada 63 mata dan di kedudukan ke-31 daripada 180 negara.

Bukan hendak merendahkan negara sendiri. Hakikatnya, skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI dilihat tidak banyak berubah. Malah, merekodkan trend menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebagai perbandingan dengan Korea Selatan, dalam CPI 2016, skor Malaysia adalah 49 mata dan berada di kedudukan ke-55 daripada 176 negara. Enam tahun berlalu, CPI 2022 menunjukkan skor Malaysia menurun kepada 47 mata, dan berada di kedudukan ke-61 daripada 180 negara.

Ironinya, sebelum tahun 2006, CPI Malaysia adalah lebih baik berbanding Korea Selatan.

Malaysia dan Korea Selatan pernah berkongsi skor dan kedudukan yang sama dalam CPI 2007, iaitu skor 5.1 (format lama CPI) dan kedudukan ke-43 daripada 179 negara.

Korea Selatan bukanlah negara terkenal dengan anggota pentadbiran dan ahli politik yang bersih daripada rasuah. Beberapa pimpinan tertinggi Korea Selatan pernah dihadapkan ke mahkamah kerana jenayah itu. Antaranya, bekas Perdana Menteri ke-33, Han Myeong-sook (19 April 2006 - 7 Mac 2007) dipenjara dua tahun kerana menerima sumbangan politik (rasuah) berjumlah 900 juta won (RM3 juta); bekas Presiden ke-11, Park Geun-hye (25 Februari 2013 - 10 Mac 2017) dipenjara 20 tahun kerana menerima rasuah 23.1 juta won (RM80,000) daripada beberapa syarikat besar; bekas Perdana Menteri ke-39, Lee Wan-Koo (17 Februari 2015 - 2 Julai 2015) didakwa di mahkamah kerana menerima sumbangan politik tidak sah berjumlah 30 juta won (RM100,000). Bagaimanapun, Lee dibebaskan daripada pertuduhan; dan bekas Presiden ke-10, Lee Myung-bak (25 Februari 2008 - 24 Februari 2013) dihukum penjara 17 tahun kerana menerima rasuah 11 bilion won (RM40 juta) bagi membebaskan pengerusi Samsung, Lee Kun-hee yang dipenjara kerana elak cukai.

Di Korea Selatan, usaha pencegahan rasuah diterajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Hak Asasi Manusia (ACRC). ACRC tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan. Tanggungjawab utama ACRC adalah merangka polisi berkaitan pencegahan rasuah, melaksanakan inisiatif pencegahan dan aktiviti kesedaran awam.

Siasatan dan pendakwaan kes rasuah dijalankan oleh polis, pejabat pendakwa raya dan Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi.

Korea Selatan mempunyai inisiatif besar mengukuhkan integriti warga kerja sektor awam. Perkara ini menyumbang peningkatan CPI Korea Selatan.

Untuk rekod, CPI sebenarnya mengukur tahap rasuah dalam perkhidmatan awam.

Inisiatif pertama, penjawat awam Korea Selatan diwajibkan mengikuti kursus integriti, etika dan pencegahan rasuah. Latihan tahunan ini dianjurkan oleh Institut Latihan Pencegahan Rasuah, ACRC. Agensi lain seperti Institut Pembangunan Sumber Manusia Negara (NHI) turut menganjurkan kursus berasaskan integriti dan etika.

Di Malaysia, tanggungjawab besar ini dilaksanakan oleh Unit Integriti di semua agensi awam. Latihan integriti juga adalah ketetapan kerajaan seperti mana Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2012: Program Transformasi Minda dan Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2021: Modul Pengukuhan Governans Integriti dan Antirasuah.

Inisiatif kedua, semua agensi awam di Korea Selatan akan menghadapi penilaian berkaitan integriti. ACRC melaksanakan Penilaian Integriti Komprehensif Institusi Awam (CIA) bagi menilai dan memberi gred tertentu kepada lebih 500 agensi awam di Korea Selatan.

Menariknya, gred setiap agensi awam akan dihebahkan kepada umum. CIA dijalankan secara tahunan dengan peruntukan sekitar AS$2 juta.

Ringkasnya, CIA melihat kepada tahap integriti, menilai usaha dilakukan untuk meningkatkan integriti dan mengukur insiden rasuah dalam agensi awam. Seterusnya, CIA mencadangkan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan oleh agensi terbabit untuk menambah baik gred mereka.

Di Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan dua penilaian agensi awam yang hampir sama dengan CIA iaitu Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam dan Kajian Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan Inisiatif Pencegahan Rasuah Agensi Awam.

Inisiatif ketiga, sistem pengisytiharan harta yang telus. Anggota pentadbiran kerajaan dan pegawai tinggi agensi awam wajib mengisytiharkan harta setiap tahun. Perkara ini dikuatkuasakan melalui Akta Etika Perkhidmatan Awam yang dikawal selia Kementerian Pengurusan Personel. Pengisytiharan harta ini boleh diakses oleh orang awam.

Sebenarnya, resipi utama kejayaan Korea Selatan adalah ketelusan pentadbiran kerajaan.

Penulis Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 7:01 AM