Bermula operasi 'mengutip' berpuluh anggota penguat kuasa laut di utara tanah air yang dikesan 'melahap' rasuah diberikan tauke bot nelayan, mereka 'terbang' ke Tawau, Sabah, bagi menghambat pula sindiket menyeludup masuk pendatang haram Filipina ke Semenanjung Malaysia.
Penulis yang menyertai operasi diatur pegawai Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyedari amanah dipikul bukan mudah.
Operasi Ops Tunda dan Ops Lancar membuatkan mereka hanya 'tidur-tidur ayam' bagi memastikan penjenayah tidak lolos atau mengubah rancangan pada saat akhir.
Intipan, penyamaran siang dan malam dilakukan akhirnya membuahkan hasil apabila lapan warga Filipina, tiga dalang sindiket dan lima pegawai imigresen diberkas serentak.
Apa dikongsi penulis hanyalah sekelumit cabaran tugas SPRM yang perlu menyelesaikan 'longgokan bukit' kertas siasatan dan laporan kes rasuah.
Arus teknologi maklumat menyebabkan kerja SPRM menangani rasuah semakin mencabar. Ini belum lagi tugas menyiasat jejak kewangan suspek di institusi kewangan dalam dan luar negara.
Keadaan ini menuntut SPRM lebih fokus dan cakna selain sentiasa dalam keadaan active mode bagi menangani rasuah dengan lebih berkesan.
Ternyata cabaran menangani rasuah dihadapi SPRM ketika ini jauh lebih ekstrem. Amat kompleks berbanding ketika SPRM dikenali sebagai agensi Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditubuhkan hampir enam dekad lalu.
Biarpun di lapangan, pihak SPRM dibebani pelbagai cabaran tugas, malangnya semua itu gagal diterjemahkan sebaiknya melalui Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dikeluarkan Transparency International (TI).
Untuk rekod, Malaysia kini berada di kedudukan ke-61 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 diperolehi pada tahun 2021. Skor Malaysia jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022.
Secara mudah difahami, CPI menggambarkan bagaimana isu rasuah dilihat dalam sektor awam sesebuah negara.
Ketika CPI diperkenalkan pada tahun 1995, Malaysia ketika itu berada di kedudukan ke-23 dengan skor mata 5.28. Namun, kedudukan negara dalam CPI mula menurun ke tangga ke-26 (1996), tangga ke-32 (1997) dan terus merosot hingga saat ini.
Jelas 'markah' ini tidak adil pada anggota dan pegawai SPRM yang berhempas pulas membasmi jenayah rasuah di negara ini. Pastinya kekecewaan amat dirasai sedangkan ramai 'ikan bilis' dan 'jerung' diheret ke mahkamah setiap hari.
Tugas pendakwaan bukan mudah tanpa pembuktian kukuh. Namun, semua itu berjaya dilakukan SPRM termasuk menyelesaikan beratus kertas siasatan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
Walaupun indeks CPI dilihat bukan pengukur sebenar situasi rasuah negara, ia masih menjejaskan imej dan kedudukan negara di mata dunia ketika kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih diperkatakan.
Justeru, penetapan sasaran dan matlamat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berada di tangga 25 teratas dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang sangat wajar, perlu dan signifikan.
Ironinya, penetapan matlamat ini membuktikan komitmen dan iltizam kerajaan, khususnya Perdana Menteri sendiri yang dilihat sangat serius dan agresif mahu membanteras rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan yang semakin membimbangkan. Tangkapan demi tangkapan serta pendakwaan dibuat SPRM membuktikan rasuah semakin mengakar dalam kehidupan.
Penganalisis Gejala Rasuah Universiti Putra Malaysia Noor Mohamad Shakil Hameed turut mengakui, bukan mudah membanteras rasuah kerana ia menjadi amalan lazim sebahagian anggota masyarakat.
Usaha memerangi rasuah tidak harus dituding kepada SPRM semata-mata. Malah, sasaran menaikkan skor CPI tidak seharusnya menjadi tugas entiti tertentu seperti SPRM, Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Ia perlu membabitkan semua pihak - ahli politik, agensi kerajaan, agensi swasta, agensi penguat kuasa serta anggota masyarakat. Komitmen dan kesungguhan Perdana Menteri membanteras rasuah perlu digunakan sepenuhnya oleh semua pihak untuk bersama-sama mendukung aspirasi yang sama iaitu membanteras rasuah melalui usaha dan inisiatif sewajarnya.
Perkara sama dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Nor Yahati Awang yang menganggap sasaran negara mencapai kedudukan di tangga 25 dalam CPI bukan mustahil.
Menurutnya, matlamat itu perlu dicapai menjelang tahun 2030 seperti ditekankan Perdana Menteri dalam ucapannya pada 27 Julai 2023 sempena peluncuran 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' dengan menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun. Penanda aras keenam meletakkan sasaran negara untuk mencapai kedudukan negara di tangga 25 dalam CPI yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI).
Beliau berkata, sehingga kini, didapati tiada usaha terancang, bersepadu dan berterusan serta agensi kerajaan yang khusus untuk melihat atau mengambil tanggungjawab bagi mengetuai usaha memperbaiki kedudukan negara dalam CPI. Mungkin sesetengah pihak berpandangan bahawa CPI hanyalah satu indeks yang dibangunkan berlandaskan persepsi semata-mata dan kita patut abaikannya dengan hanya membanteras rasuah di negara ini dengan cara kita.
Penulis yakin perjuangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bagi membanteras rasuah dan mencapai sasaran skor CPI terbaik negara mampu direalisasikan berdasarkan strategi mampan yang disusun.
Penulis Pengarang Berita Harian Metro