LEMBU baka Charolais Lunaparc. FOTO BERNAMA
LEMBU baka Charolais Lunaparc. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Ipoh: Meskipun pernah ditawarkan harga setinggi RM26,000 daripada seorang individu untuk membeli lembu sado jantan peliharaannya, 'Jays', Ahmad Abqari Mat Ariffen, 28, tetap tidak mahu menjualnya.

Bagi Ahmad Abqari, lembu baka Charolais Lunaparc seberat lebih satu tan metrik (1,103 kilogram) itu sangat bermakna baginya lebih-lebih lagi Jays yang berusia tiga tahun adalah lembu terbesar pernah dimilikinya sejak berkecimpung selama 10 tahun dalam sektor penternakan.

"Sekitar pertengahan Jun tahun ini ada seorang pembeli yang tawarkan harga tersebut (RM26,000) dan kalau nak diikutkan boleh dikatakan agak tinggi, namun tak terdetik di dalam hati untuk menjualnya.

"Banyak nilai sentimental dan kenangan membesarkannya selain sepanjang berkecimpung dalam dunia penternakan lembu ini, Jays paling besar dan sangat manja dengan saya," katanya ditemui Bernama pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Ahmad Abqari yang juga anak ke-11 daripada 13 adik-beradik berkata, antara kenangan manis sepanjang membela lembu berkenaan ialah ketika memenangi gelaran 'King Of Sado' pada HPPNK Negeri Kelantan 2023 yang berlangsung di Pantai Irama Bachok, pertengahan Jun lepas.

"Kejuaraan yang dimenangi bagi kategori lembu hibrid itu juga melayakkan Jays dinobatkan sebagai lembu hibrid terberat di Kelantan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM2,500 diperuntukkan setiap bulan bagi kos makanan dan vitamin tambahan demi memastikan lembu sado peliharaannya itu sentiasa berada dalam keadaan sihat.

"Lembu saya ini memerlukan makanan sekitar lapan hingga 12 kilogram sehari dan jenis makanan yang diberikan adalah berasaskan campuran tiga jenis dedak.

"Saya akui ada orang beranggapan jumlah kos makanan yang diperuntukkan untuk lembu sado ini agak tinggi berbanding lembu biasa tetapi bagi saya tidak salah mengeluarkan belanja lebih asalkan lembu yang dipelihara sentiasa sihat," katanya.

Anak jati Machang itu memberitahu meskipun dari segi luaran Jays dilihat bengis, lembu berkenaan sebenarnya agak manja dan gemar dibelai.

"Ramai orang beranggapan lembu sado ini agresif kerana rupa parasnya yang besar berbanding lembu kampung biasa, tetapi sebenarnya ia lebih mudah diuruskan dan mesra dengan manusia," katanya.

Selain itu katanya, seekor lembu sado dengan berat sekitar satu tan boleh dijual pada harga RM15,000 hingga RM30,000 bergantung kepada baka haiwan itu.

"Kalau jenis (baka) Charolais ia boleh cecah (harga) hingga RM30,000 seekor… jenis limosin serta Belgian Blue pula sekitar RM18,000 hingga RM25,000," katanya.

Ahmad Abqari berkata, beliau merancang menambah bilangan lembu sado yang diternak selain mengkomersialkan perusahaan dimiliki ke seluruh negara.

"Buat masa ini saya hanya ada tujuh ekor lembu sado daripada baka Charolais dan Belgian Blue. Untuk jangka masa sekarang, saya fikir hendak meningkatkan bilangan lembu yang diternak terlebih dahulu.

"Jika berjaya, sudah pasti saya ingin mencari pasaran yang lebih luas di seluruh negara bagi meningkatkan pendapatan. Ia kerana permintaan untuk lembu sado ini amat tinggi di pasaran tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 9:53 AM