SAKSI pendakwaan, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada perbicaraan bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
SAKSI pendakwaan, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada perbicaraan bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sering lambat, bagaimanapun seorang yang bijak dan pandai berbicara.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak ketika sesi pemeriksaan balas.

Shahrol berkata demikian dalam perbicaraan hari ke-17 membabitkan Najib yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Saksi kesembilan itu berkata, beliau pertama kali berurusan dengan Jho Low pada 2007 yang ketika itu mahu menggunakan khidmat firma perundingan, Accenture.

“Jho Low bermula dengan menghantar mesej kepada saya yang ketika itu berkhidmat sebagai perunding di syarikat itu. Dia mahu saya melihat sistem di syarikatnya serta meminta saya datang ke situ.

“Dia mendapat nombor saya melalui rakan sebilik, Azran ketika belajar di Universiti Stanford (Amerika Syarikat). Saya pergi berjumpa Jho Low yang ketika itu adalah Pengarah Urusan di syarikat UBG (Utama Banking Group). Dia mahu mempermudahkan proses pelaburan di UBG. Perbincangan dilakukan beberapa kali ini sehingga mencapai apa yang dia mahukan,” katanya.

Menurutnya, hasil perbincangan, Jho Low melantik syarikatnya dalam projek yang bernilai RM1 juta itu.

SHAFEE: Bagaimana Jho Low ketika itu?

SHAHROL: Dia selalu lambat, tetapi pandai berbicara, cepat memahami sesuatu isu atau melaksanakan sesuatu perkara.

SHAFEE: Dia sangat bijak?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Dia seorang yang meyakinkan?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Ok, ini soalan penting, ketika itu kamu tahu dia seorang yang ‘unsavoury character’ (karakter tidak menyenangkan)?

SHAHROL: Tidak.

SHAFEE: Dia tidak menunjukkan bahawa dia seorang penipu?

SHAHROL: Tidak, ketika itu dia tidak tunjukkan.

SHAFEE: (merujuk kepada keterangan saksi) Apa maksud kamu apabila mengatakan Jho Low mengatakan kamu sebagai seorang yang akan buat seperti yang diarahkan seperti dalam keterangan saksi kamu ini.

SHAHROL: Saya rasa Jho Low ketika itu merasakan bahawa saya adalah seorang yang tidak ‘Kepochi’ (tidak mencampuri urusan orang lain).

SHAFEE: Jadi kamu bukan ‘busy body’ (penyibuk)?

SHAHROL: Ya, itu lebih tepat.

SHAFEE: Jadi kamu adalah seorang yang akan buat sesuatu tanpa mencari apa tujuan utama?

SHAHROL: Itu tidak benar. Saya akan mengambil apa sahaja maklumat yang diperlukan untuk mencapai hasilnya tetapi perkara yang tidak relevan saya akan serahkan kepada mereka yang arif.

SHAFEE: Kamu kenal Jasmine Loo Ai Swan?

SHAHROL: Ya, ketika itu dia peguam di UBG.

SHAFEE: Apa pandangan kamu terhadap dia ketika itu?

SHAHROL: Seorang yang bekerja keras, senang untuk bekerjasama dan arif berhubung perniagaan .

SHAFEE: Bila kamu mula curiga terhadap Jho Low?

SHAHROL: Hanya selepas siasatan bermula pada 2015. Selepas ditunjukkan dokumen berhubung aliran wang. Saya tidak ingat sama ada dari pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SHAFEE: Sekarang kamu tahu mereka berdua dalam buruan?

SHAHROL: Ya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah masih berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 1:25 PM