RIZA Aziz (kiri) dan Amhari. FOTO Mohd Yusni Ariffin
RIZA Aziz (kiri) dan Amhari. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi di sini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menunjukkan minat dengan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sejak 2008.

Bekas Pegawai Khas, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mengesahkan perkara itu ketika ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak.

Amhari berkata demikian ketika dirujuk Minit Mesyuarat Kabinet bertarikh 19 Disember 2008 yang menunjukkan beliau hadir sebagai sekretariat dalam mesyuarat Kabinet yang membincangkan penubuhan TIA.

Beliau mengesahkan bahawa hadir ke dalam mesyuarat itu bagaimanapun tidak ingat sama jika ada mencatatkan minit mesyuarat.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa pada peringkat awal iaitu ketika perbincangan penubuhan, Jho Low ada terbabit dalam membuat cadangan berhubung institusi kewangan.

Perkara itu disahkan saksi yang menyatakan bahawa Jho Low ada terbabit dalam cadangan awal, tetapi tidak pasti sama ada ia membabitkan institusi kewangan.

SHAFEE: (Merujuk kepada Minit Mesyuarat berhubung TIA bertarikh 5 Mac 2009) Kamu juga adalah salah seorang sekretariat dan hadir bersama Lim Poh Seng?

AMHARI: Ya

SHAFEE: Dalam kedatangan itu juga ada nama Jho Low?

AMHARI: Ya

SHAFEE: Ada kamu ingat apa-apa berhubung perkara ini?

AMHARI:Jika tidak silap saya, Jho Low hadir membawa cadangan mengenai bank berhubung bon.

SHAFEE: Adakah ia membabitkan cadangan dari Goldman Sachs, JP Morgan dan Nomura?

AMHARI: Saya tidak ingat.

SHAFEE: Adakah ia dicadangkan oleh Jho Low?

AMHARI: Saya tidak ingat.

SHAFEE: Minit Mesyuarat ini juga menyatakan syarikat yang disenarai pendek untuk membuat persembahan kepada Sultan Mizan ketika itu. Jadi syarikat ini akan buat pembentangan kertas kerja hari itu?

AMHARI: Ya

SHAFEE: Merujuk beberapa minit mesyuarat TIA, ada nama Jho Low yang diletakkan sebagai jemputan. Adakah anda tahu dia hadir atas jemputan siapa?

AMHARI: Saya tidak tahu.

SHAFEE: Awak tidak periksa?

AMHARI: Tidak.

SHAFEE: Tiada siapa yang bertanya?

AMHARI: Saya yang tidak bertanya.

SHAFEE: Kamu tahu apa peranan Jho Low?

AMHARI: Yang saya tahu adalah untuk membantu dalam penubuhan TIA.

SHAFEE: (Merujuk kepada dokumen) Ada individu dalam TIA mula bertanya berhubung Jho Low dan apa dia (Jho Low) buat dalam TIA?

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Kamu tidak tahu Jho Low hadir wakil siapa?

AMHARI: Saya tidak tahu.

SHAFEE: Saya cadangkan Jho Low hadir untuk beri nasihat bagi penubuhan TIA?

AMHARI: Ya untuk memberi cadangan bagaimana TIA perlu bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:30 AM