ADLY (dua dari kanan) bersalaman bersama orang ramai pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena Konvensyen Pengembangan & Hari Inovasi Veterinar di A' Famosa Resort, Alor Gajah, malam tadi. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber.
ADLY (dua dari kanan) bersalaman bersama orang ramai pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri sempena Konvensyen Pengembangan & Hari Inovasi Veterinar di A' Famosa Resort, Alor Gajah, malam tadi. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber.
Amir Mamat


KERAJAAN negeri Melaka mendapat kebenaran khas daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengambil air mentah dari Tasik Biru di Jasin ke Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah.

Langkah terbabit sebagai jalan terakhir untuk mengelak daripada pelaksanaan catuan air selain mengatasi masalah bekalan air untuk jangka panjang di negeri ini.

Perkara itu disahkan Ketua Menteri, Adly Zahari, malam ini yang menyatakan perkhabaran gembira itu melegakan hati rakyat negeri ini, khususnya penduduk terjejas akibat gangguan bekalan air sejak beberapa minggu lalu.

“Pada 8 Oktober ini, SPAN akan bermesyuarat dan memberi keputusan rasmi mengenai kebenaran itu.

“Jika sudah memperoleh kebenaran, kita akan laksanakan segera kerja mengepam air dari Tasik Biru ke Empangan Durian Tunggal.

“Saya yakin jika kaedah ini dapat dilaksanakan, masalah bekalan air melanda negeri ini akan dapat diatasi untuk tempoh panjang,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Negeri sempena Konvensyen Pengembangan dan Hari Inovasi Veterinar di A’ Famosa Resort, Alor Gajah, malam tadi.

Hadir sama, EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ketua Pengarah Jabatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Kelmarin, Adly bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Khalid Nasir mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi SPAN di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Adly berkata, bekalan air dari Tasik Biru itu akan membantu secara menyeluruh penduduk mengalami gangguan bekalan air, selain bantuan diperoleh dari Negeri Sembilan dan Johor.

“Air di Tasik Biru boleh menampung keperluan air di seluruh Melaka dengan kapasiti 600 juta liter sehari berbanding 270 juta liter diperoleh dari Sungai Gerisik sehari.

“Melaka negeri pelancongan dan pembangunan kita bergerak pantas, jadi keperluan air di negeri ini sangat mendesak dan sudah pasti kita perlu menguruskannya dengan cara efektif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 12:48 AM