Nurul Fhatihah Zakinan


OPERASI di Klinik Kesihatan (KK) Selandar terjejas sehingga kakitangan berdepan kesulitan menjalankan perkhidmatan apabila premis itu mengalami gangguan bekalan air sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di premis itu mendapati, enam bilik air di premis itu terputus bekalan air selain perkhidmatan pergigian ditutup sementara berikutan masalah itu.

Sumber berkata, premis itu mengalami gangguan air sejak 12 September lalu namun hanya meminta bantuan bomba dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) lima hari kemudian kerana masih menggunakan bekalan air yang ada dari dua tangki utama.

“Bomba sudah bantu mengepam kira-kira 10,000 gelen air ke tangki utama untuk kegunaan di premis dan kuarters manakala SAMB menghantar 250 gelen air, tiga kali seminggu, buat masa ini.

“Kami mengutamakan keperluan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) namun agak sukar untuk menjalankan rutin kerja termasuk apabila pesakit menjalankan ujian darah sehingga terpaksa melakukan proses itu di Klinik Kesihatan Jasin,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, hanya KK Selandar dilaporkan mengalami masalah bekalan air terputus, sejak 16 September lalu.

“Bagaimanapun, saya akan bantu pastikan SAMB menghantar air untuk kegunaan klinik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chee Leong berkata, Melaka mempunyai tiga hospital utama negeri selain 30 klinik kesihatan dan 56 klinik desa setakat ini.

Sementara itu, tinjauan di Tasik Biru, Jasin mendapati kerja pengepaman air dari tasik ke Empangan Durian Tunggal masih belum dimulakan namun hanya operasi harian dari tasik sama ke Sungai Chin Chin dijalankan bagi meningkatkan paras sungai untuk kegunaan penduduk sekitar daerah itu.

Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata, keputusan rasmi mengenai Melaka mendapat kebenaran khas mengambil air mentah dari Tasik Biru di Jasin ke Empangan Durian Tunggal, hanya akan diketahui selepas bermesyuarat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), 8 Oktober ini.

Katanya, kerja mengepam air dari Tasik Biru ke empangan berkenaan berupaya menampung keperluan air di seluruh Melaka dengan kapasiti 600 juta liter sehari berbanding 270 juta liter yang diperoleh dari Sungai Gerisik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 5:29 PM
Tangki bekalan air diletakkan di hadapan Klinik Kesihatan Selandar. FOTO Khairunisah Lokman
Tangki bekalan air diletakkan di hadapan Klinik Kesihatan Selandar. FOTO Khairunisah Lokman