GAMBAR fail menunjukkan rumah yang dirobohkan. FOTO
GAMBAR fail menunjukkan rumah yang dirobohkan. FOTO
Khairul Najib Asarulah Khan


PIHAK berkuasa negeri sudah tiga kali menangguhkan operasi perobohan rumah penduduk yang dibina di tanah rizab kerajaan di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh.

Pejabat Daerah Tanah (PDT) Petaling dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu bagi memberi laluan penduduk mengosongkan tapak itu secara sukarela.

Katanya, ia bermula 20 Julai 2016 sebelum ditangguhkan pada 22 Februari 2017 dan pada Isnin lalu.

“Dengan itu, Rabu (kelmarin), kita perlu melakukan perobohan bagi memberi laluan untuk projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong sepanjang 1.15 kilometer yang sudah dirancang sejak 2015.

“Projek pelebaran sungai yang menelan belanja RM5.93 juta itu sudah dijalankan pada 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017. Namun, ia mengalami kelewatan kerana adanya struktur yang dibina di tanah kerajaan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelebaran sungai terbabit penting untuk menangani masalah banjir yang kritikal di daerah Petaling dengan kekerapan banjir lebih dua kali setahun.

“Dengan pelebaran sungai itu dapat menyelesaikan masalah penduduk di empat kampung di daerah ini iaitu Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Paya Jaras Tengah, Kampung Paya Jaras Dalam dan Kampung Paya Jaras Hulu.

“Keengganan penduduk berpindah mengakibatkan projek itu diberikan Lanjutan Masa (EOT) sebanyak dua kali yang berakhir kelmarin,” katanya.

Katanya, perobohan struktur di kawasan itu membabitkan empat kawasan yang dinamakan Plot A dan Biaitu terdapat sebanyak 50 struktur manakala Plot C dan D mempunyai 45 struktur.

“Struktur itu terdiri daripada rumah kediaman, kedai runcit, bengkel dan garaj. Buat masa ini, 36 struktur di Plot C dan D sudah dirobohkan, manakala selebihnya akan dirobohkan dalam masa terdekat.

“Dengan itu kita harapkan penghuni di struktur yang belum dirobohkan segera mengosongkan bangunan yang diduduki itu. Kita juga sudah menawarkan pembelian Rumah Selangorku kepada penduduk terjejas.

“Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 disebabkan menduduki tanah kerajaan secara tidak sah,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan penduduk terjejas terpaksa menginap di khemah disebabkan masih tiada tempat untuk berteduh selain sedang berusaha mencari rumah sewa.

Berita berkaitan:

  • 'Kami semua bukan itik'
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 3:15 PM