GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rosyahaida Abdullah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti badan berkaitan kerajaan (GLC) berisiko tinggi yang perlu ditempatkan pegawai SPRM di pejabat mereka.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, senarai GLC terbabit dibuat antaranya berdasarkan kes rasuah yang wujud membabitkan agensi berkenaan serta dana terlalu besar.

Menurut beliau, pihaknya memantau rapat GLC berisiko tinggi terbabit terutama dalam usaha untuk menubuhkan IGU (Unit Integriti dan Governans) di syarikat berkenaan dan tempatkan seorang pegawai kanan SPRM di sana.

“Sebagaimana tempoh dua tahun diberikan Perdana Menteri untuk mewujudkan unit ini di setiap GLC, kita memang sedang bergerak dan merangka cara terbaik untuk IGU dilaksanakan.

“Paling penting, kita ingin pastikan pegawai SPRM yang ditempatkan boleh menjalankan peranannya dengan efektif melalui penempatan unit di bahagian yang tepat dalam syarikat, bukannya di bahagian yang menjadikan peranan pegawai kanan kita nampak longgar dan tidak efektif,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik IGU serta Penubuhan IGU Kumpulan TM diiringi Pengerusi TM, Rosli Man dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Susulan pembentukan IGU Kumpulan TM, Latheefa menyeru lebih banyak syarikat bukan saja GLC malah sektor perbankan dan sebagainya untuk tampil mencontohi langkah TM dalam usaha memerangi rasuah.

“Dengan adanya pegawai SPRM di syarikat mereka, ia bukan sekadar menunjukkan komitmen mereka malah kita sendiri boleh memantau aktiviti membabitkan integriti lebih dekat memandangkan pegawai kita sedia ada di sana,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, dengan adanya IGU di TM yang diketuai sendiri oleh pegawai kanan SPRM, ketelusan syarikat akan lebih meyakinkan terutama dalam kalangan pelabur.

“Pemegang saham TM bukan hanya di Malaysia malah dari seluruh dunia. Mempunyai IGU menambah keyakinan mereka terhadap amalan ketelusan TM apa lagi ia diketuai oleh pegawai SPRM sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 2:13 PM