LAFAZ Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Azman. FOTO ihsan PLUS
LAFAZ Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Azman. FOTO ihsan PLUS
Muhammad Saufi Hassan


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersama 400 rakan menyatakan komitmen untuk bebas daripada rasuah dengan menzahirkan Ikrar Bebas Rasuah disaksikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lafaz ikrar berkenaan adalah sempena penganjuran Hari Integriti baru-baru ini.

Ia turut membabitkan pengurusan serta warga kerja PLUS, penyedia perkhidmatan, kontraktor, pengawal selia dan agensi kerajaan.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, PLUS mengamalkan toleransi sifar terhadap semua bentuk rasuah dan korupsi.

“Integriti sebenar adalah melakukan perkara yang betul apabila tiada sesiapa yang melihat. Sebagai peringatan, kami sudah mencipta tagline #pilihintegrititiadatoleransi.

“Saya percaya, mana-mana organisasi yang mahu berkembang maju dan menjadi nilai kepada masyarakat, barisan kepimpinannya mestilah mengamalkan nilai integriti dengan sepenuh hati kerana ia adalah aspek terpenting dalam memacu kebenaran dan ketelusan dalam kehidupan seharian,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pada program itu, Ikrar Bebas Rasuah ditandatangani oleh Azman bersama-sama dengan anggota PLUSRonda, Pembantu Khidmat Pelanggan PLUS, rakan niaga dan penyedia perkhidmatan.

Ini diikuti oleh lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Azman dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, Timbalan Pesuruhjaya (Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat) SPRM Razim Mohd Noor, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi) SPRM Mohamad Ahmad@Puteh, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Ir Abdullah Hashim, Pengerusi PLUS Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Ketua Pegawai Governans dan Risiko PLUS Satpal Singh.

Dalam usaha memperkukuh tadbir urus korporatnya, PLUS menubuhkan Jawatankuasa Governans, Risiko dan Pematuhan di peringkat Jawatankuasa Lembaga Pengarah dan disokong oleh Unit Governans dan Integriti selari dengan Panduan SPRM dan Pelan Anti-Rasuah Nasional.

Selain itu, PLUS juga melancarkan Panduan Anti Rasuah dan Korupsi (ABAC) yang menggariskan 10 teras utama integriti.

Pada masa sama, bagi menerapkan nilai dan amalan budaya integriti dalam kalangan warga kerjanya, syarikat ini turut menyediakan 112 latihan bersemuka buat semua 3,800 warga kerjanya di 17 pejabat operasi wilayah dan seksyen PLUS di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 7:21 PM