Azam Baki.
Azam Baki.
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggalakkan semua syarikat di negara ini untuk membangun dan melaksanakan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bagi menikmati insentif cukai yang ditawarkan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, sebelum ini insentif cukai mengikut Subseksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 itu hanya ditawarkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurutnya, peluasan insentif cukai kepada semua syarikat bagi pelaksanaan OACP itu diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

"Menteri Kewangan bersetuju supaya potongan cukai yang sama turut dipanjangkan ke atas pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang dibangunkan oleh syarikat.

"Oleh yang demikian, saya amat menggalakkan supaya semua syarikat membangun dan melaksanakan OACP masing-masing dan mengambil manfaat melalui insentif ini," katanya pada Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah 2023 (KITA 2023) anjuran bersama kerajaan negeri Negeri Sabah dan SPRM di sini, hari ini.

Konvensyen dua hari sehingga esok itu dihadiri kira-kira 2,000 peserta yang terdiri daripada Ketua Unit Integriti Agensi Awam Persekutuan dan kerajaan negeri dari seluruh negara bagi membincangkan isu berkaitan governans, integriti, dan antirasuah (GIA).

Azam berkata, SPRM kekal komited untuk memastikan hasrat dan harapan menjadikan Malaysia bebas daripada rasuah dilaksanakan dengan segala kudrat dan kuasa yang ada di agensi itu.

"Di samping tindakan operasi dan punitif yang dilaksanakan secara agresif dan proaktif, pencegahan dan galakan dalam bentuk insentif turut diperkenalkan.

"Umpamanya, bagi syarikat yang melaksanakan program-program pendidikan dan pencegahan rasuah, potongan cukai mengikut Subseksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 boleh dituntut bagi program yang dianjurkan," katanya.

Beliau berkata, pemerkasaan usaha membanteras rasuah di negara ini juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-16, selain gagasan Malaysia Madani bagi menjadikan Malaysia sebuah negara membangun, sejahtera, berdaya saing dan harmoni.

Katanya, SDG ke-16 antara lain menggariskan matlamat untuk mewujudkan masyarakat aman dan inklusif demi pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi berkesan, bertanggungjawab serta inklusif kepada semua peringkat.

"Apa yang dihasratkan dalam Gagasan Malaysia Madani, Ekonomi Madani dan SDG itu tidak akan berjaya seandainya integriti tidak menjadi teras dalam setiap urusan dan perkhidmatan yang dibekalkan.

"Penguatkuasaan undang-undang dilihat lemah, pendatang asing tanpa izin (Pati) bebas keluar masuk, ketirisan dana awam berleluasa, urusan perolehan tidak teratur adalah kesan daripada integriti perkhidmatan yang tidak dijaga," katanya.

Sementara itu, Azam mengakui kesungguhan kerajaan Sabah dalam usaha membanteras gejala rasuah, pengukuhan governans dan pembudayaan integriti di negeri ini.

Menurutny, arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri berkaitan ketiga-tiga perkara itu memberi gambaran yang jelas komitmen kerajaan Sabah yang setakat ini belum pernah dibuat mana-mana kerajaan negeri yang lain.

"Atas saranan pihak SPRM, Ketua Menteri Sabah mengeluarkan Arahan YAB Ketua Menteri No 1 Tahun 2023 berhubung Pemantapan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) dalam Pentadbiran Negeri Sabah yang diharap akan menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan tadbir urus yang berintegriti dilaksanakan dengan cekap dan efektif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 3:52 PM